16 February 2012

Nenek 16 thn yang punya 4 anak 19 cucu 47 cicit sebenarnya berumur 116 thn, warga paling tua di Perlis

KANGAR: Bukan 16, tetapi 116 tahun. Itulah usia sebenar warga emas Puan binti Ahmad, yang bacaan tarikh lahir pada MyKadnya menggambarkan beliau dilahirkan pada 12 April 1996.

Hakikatnya, pemilik MyKad bernombor 960412-02-0058* itu dilahirkan pada 1896 dan disahkan sebagai penduduk paling tua di Perlis berdasarkan rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Menjelaskan perkara itu kepada media di sini Khamis, Menteri Besar Datuk Seri Dr Md Isa Sabu berkata, nombor yang tertera pada MyKad warga emas berkenaan adalah berasaskan rekod sebenar JPN.

Disebabkan beliau lahir pada 1896, maka nombor pada MyKadnya juga bermula dengan 96 seperti kesemua pemegang MyKad yang lahir pada 1996, kata Md Isa yang mengunjungi warga emas itu pada Khamis.

Katanya, beliau mendapatkan penjelasan itu daripada JPN selepas mendapat tahu mengenai Puan yang menghadapi pelbagai masalah ekoran kekeliruan nombor MyKad tersebut, termasuk gagal mendapatkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Susulan itu juga kata Md Isa, warga emas berkenaan telah disenaraikan sebagai penerima BR1M pada Sabtu ini.

Puan yang menetap di Kuala Sanglang mempunyai empat anak berusia antara 58dan 70 tahun serta 19 cucu dan 47 cicit, dilapor bakal menyambut ulang tahun kelahiran ke-16 pada 12 April ini ekoran kekeliruan pada MyKad miliknya itu. - BERNAMA

BERITA AWAL :

Beliau mempunyai empat anak berusia antara 58 dan 70 tahun serta 19 cucu dan 47 cicit, namun tarikh lahir pada MyKad miliknya menunjukkan beliau adalah gadis sunti yang akan menyambut hari jadi ke-16 pada 12 April ini.

Tidak masuk akal, tetapi itulah hakikat yang dilalui oleh Puan binti Ahmad yang usia sebenarnya sudah mencecah seabad dan dianggap antara warga emas paling tua di Padang Keria, Sanglang, di Kangar.

"Saya dah tak ingat usia saya. Tapi saya hidup pada zaman penjajah," katanya ketika ditemui di rumah anak ketiganya, Mat Yusop Kamis, 63, di Padang Keria selepas berpindah dari Kuala Nerang, Kedah sejak setahun lalu.

Pada MyKad warga emas ini tertera tarikh lahir 12 April 1996 dan kesilapan itu juga menyebabkan beliau ....
menghadapi pelbagai masalah termasuk gagal mendapatkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Sementara itu, cucunya Siti Noratikah Mat Yusop, 21, berkata kesilapan pada MyKad tersebut disedari ketika beliau menghantar neneknya mendapatkan rawatan di sebuah klinik di Kuala Perlis tahun lepas.

Kes itu kemudian dirujuk kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), namun sehingga kini belum ada tindakan susulan diambil jabatan tersebut, katanya.

"Kami harap JPN dapat menyelesaikan masalah ini secepat mungkin bagi mengelakkan masalah lain yang lebih besar pada masa depan," kata Noratikah.

- Bernama

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive