16 February 2012

Untung rugi PAS dalam Pakatan

Muda Mohd Noor


Kesabaran PAS terhadap DAP khususnya tiada tolak banding sehingga melakukan apa sahaja untuk memuaskan hati Pakatan Rakyat yang turut disertai PKR.

PETALING JAYA: Tidak ada pakatan politik yang tidak retak, tetapi yang berlaku dalam Pakatan Rakyat ialah PAS telah mengorbankan prinsipnya untuk mempertahankan pakatan yang berlaku secara tiba-tiba.
Kesabaran PAS terhadap DAP khususnya tiada tolak banding sehingga melakukan apa sahaja untuk memuaskan hati Pakatan Rakyat yang turut disertai PKR.

Berbanding kedua parti itu, PAS merupakan paling tua diikuti DAP dan PKR. Begitu pun, ketua Pakatan Rakyat bukan PAS tetapi DAP dan PKR.


Ahli Parlimen PKR Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupalam ketua umum Pakatan Rakyat.
Beberapa siri yang berlaku menunjukkan PAS amat mengalah kepada DAP. Paling ketara DAP menggertak PAS dalam kontroversi penjualan arak di Selangor.

Datuk Dr Hasan Ali, exco agama Selangor waktu yang mengeluarkan arahan itu telahpun dipecat dari PAS. Adun Gombak Setia itu mendakwa pemecatannya kerana kelantangannya memperjuangkan Islam yang tidak disenangi Pakatan Rakyat.

Tagline Islam

PAS yang sekian lama memahatkan diri dengan slogan Islam sedikit demi sedikit melepaskan tagline itu demi memuaskan PKR dan DAP.

Konsep negara Islam yang diperjuangkan sejak sekian lama bertukar negara berkebajikan supaya PAS senada dengan PKR dan DAP. Konsep PAS untuk semua memudahkan lagi parti Islam itu diterima PKR dan DAP.

Sejak pilihan raya umum 2008, PAS berusaha mengimbangi rentak kedua-dua rakan pakatan itu dalam mengejar impian menawan Putrajaya dalam pilihan umum 13 kelak.

Jadi ketiga-tiga parti itu bergerak bersama untuk mendedahkan keburukan politik BN khususnya Umno dan betapa perlunya kerajaan baru dalam pilihan raya umum akan datang.

Bagi PAS pakatan politik dengan PKR dan DAP bukannya merugikan. Pilihan raya umum 2008 telah menjadi bukti. Sudah pasti mahu kemenangan lebih besar dalam pilihan raya 13.

PAS menawan Kedah, negeri yang pernah melahirkan dua perdana menteri – Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj dan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Satu lagi negeri yang ditawan Pakatan Rakyat iaitu Perak memilih Adun PAS Datuk Seri Nizar Jamaluddin sebagai menteri PAS.

Lupa dakwah

Tetapi, tanpa diduga Pakatan Rakyat diserang tanpa henti-henti atas kesalahan Anwar sendiri. PAS yang mulanya memerhatikan dari jauh, bangkit mempertahankan pemimpin itu.

Ujian terhadap hubungan PAS-DAP tidak kurang hebatnya. Ia tampil dari DAP sendiri. Karpal Singh berkata, pakatan politik itu akan hilang sokongan jika PAS tidak berhenti melaungkan keinginan melaksanakan hukum hudud.

Anwar tidak juga kurang hebatnya. Kenyataan bekas timbalan perdana menteri itu menyokong Israel menimbulkan marah PAS.

Mursydul Am, Datuk Nik Aziz Nik Mat pemimpin tertinggi dan paling dihormati dalam kabinet PAS mahukan Anwar menarik balik kenyataan itu.

Bagaimanapun, Anwar mahu bertemu menteri besar Kelantan itu bagi menjelaskan perkara sebenar.

Barangkali kerana mata sudah membayangkan impian memeluk Putrajaya sudah dekat, PAS seolah terlupa soal dakwah terhadap DAP dan PKR. Mungkin akan melakukannya selepas berkuasa kelak - FMT

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive