29 February 2012

Pembatalan konsert Erykah Badu : Tahan sebak di Sidang Akhbar

Pembatalan konsert sulung penyanyi antarabangsa terkenal, Erykah Badu di Malaysia menerima pelbagai reaksi dari semua pihak. Konsert sulung penyanyi yang popular dengan lagu "You Got Me" itu telah dibatalkan pihak berwajib menerusi kenyataan yang dikeluarkan Datuk Seri Utama Rais Yatim semalam di laman Twitter rasmi beliau.

Menerusi sidang media tergempar yang diadakan di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) sebentar tadi, Erykah bersama wakil penganjur dari Pineapple Concert telah hadir memberi kenyataan berhubung isu pembatalan konsert ini.


"Kami dengan dukacitanya memaklumkan secara rasmi konsert Erykah Badu di Kuala Lumpur dibatalkan. Kami telah mendapat arahan selanjutnya dari pihak PUSPA dan difahamkan juga permit yang diberikan sejak Disember lepas telah ditarik balik," ujar Razman Razali, wakil dari Pineapple Concert.

Razman turut menjelaskan imej yang diguna pakai akhbar The Star yang memaparkan gambar Erykah dengan kalimah Allah itu tidak ada kaitan dengan pihak penganjur. Menurut beliau, gambar rasmi yang telah dibekalkan pihak penganjur kepada semua media cetak baik elektronik adalah gambar yang sudah pun dipersetujui semua pihak dan memenuhi garis panduan yang ditetapkan.

"Gambar yang disiarkan akhbar The Star itu bukanlah datang dari kami. Kemungkinan besar, gambar itu The Star ambil dari pihak Universal Music," jelas Razman yang belum memberi kata putus tentang apakah tindakan yang akan dilakukan kepada pihak The Star berhubung isu ini.

Kesemua peminat yang sudah membeli tiket boleh membuat tuntutan semula wang masing-masing melalui wakil penjual, Air Asia Red Tix. Penganjuran konsert yang telah dirancang rapi ini tidak pernah menjadi isu atau ditentang mana-mana pihak sehinggalah kontroversi ini berlaku.

"Pihak The Star sepatutnya peka dengan isu-isu sebegini dan lebih peka terhadap sensitiviti masyarakat Malaysia. Tambahan pula, mereka sepatutnya lebih arif dan mengetahui hal-hal sebegini kerana mereka adalah medium akhbar," tambah Razman lagi yang mengakui ada menerima permohonan maaf dari akhbar berbahasa Inggeris itu.

Erykah yang turut hadir menjelaskan gambar tersebut merupakan salah satu dari sesi pengambarannya yang diinspirasikan dari filem tahun 70an, The Holy Mountain yang diarahkan Alejandro Jodorowsky. Menurut Erykah, beliau menghormati kepercayaan setiap peminatnya dan menganggap kejadian yang berlaku ini adalah ketentuan Tuhan dan terjadi bersebab.

"Saya berada di sini untuk semua peminat saya. Saya suka akan Malaysia. Orangnya peramah. Makanannya sedap dan saya tak pernah serik dan jika diberi peluang, saya pasti akan kembali ke negara penuh budaya ini," ujar Erykah dalam nada sebak.

Erykah juga menjelaskan imej yang tertera di badan beliau itu bukanlah tattoo sebaliknya merupakan sejenis 'body art' atau lukisan badan yang tidak kekal. Erykah juga mengakui tidak dapat menyembunyikan rasa terkilannya kerana tidak dapat bersama peminatnya di sini.

"29 Februari merupakan tarikh istimewa dan jarang berlaku. Sepatutnya tarikh ini menjadi hari yang bermakna dalam hidup saya kerana dapat bertemu anda semua dan berkongsi muzik dan kasih saya."

Erykah yang baru sahaja menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke 41 tiga hari lalu akan meneruskan konsert beliau di Indonesia Sabtu ini bersempena dengan Java Jazz Festival. Penampilan beliau yang sudah dirancang sejak tahun lepas lagi merupakan penampilan sulung beliau di benua Asia Tenggara.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive