MASALAH saya rumit. Nak diluahkan pun macam membuka pekung sendiri. Saya dah kahwin tapi macam tak ada suami. Dia tak pernah nak ambil tahu tentang saya, malah ke mana saya pergi, di mana saya berada dia tak pernah tanya," pantas wanita muda ini melontar tekanan yang jelas ketara pada wajahnya.
Pertemuan dengannya tidak dirancang. Ia berlaku di sebuah taman di tengah ibu kota, sementara menunggu waktu berbuka puasa.
Selepas menghulur salam sambil saling memperkenalkan diri, wanita berkurung biru dengan tudung sedondon yang cuma membahasa diri sebagai Ina, sedikit demi sedikit mula membuka cerita.
Katanya, dia sudah bersuami tetapi masih belum dikurniakan anak walaupun sudah hampir dua tahun mendirikan mahligai rumah tangga bersama lelaki pilihannya.
"Saya memang nak sangat anak. Tapi macam nak mengandung kalau hubungan dengan suami sangat dingin. Waktu itu saya pun tak tahu apa puncanya sedangkan kami berkahwin suka sama suka," katanya.
Menurut Ina, dia berkenalan dengan suaminya, Hadi, ketika menghadiri majlis perkahwinan seorang rakan.
Tidak mengambil lama untuk mengenali hati budi masing-masing, kedua-duanya memutuskan untuk berkahwin.
"Sebelum ini saya pernah beberapa kali kecewa dalam bercinta. Jadi kali ini saya bertekad tak mahu bercinta lama-lama yang penting lelaki itu baik dan bersedia untuk mengambil saya sebagai isteri.
"Kebetulan Hadi pun sedang mencari pasangan hidup. Lagipun waktu itu usia kami pun bukan muda lagi dan memang sudah sepatutnya berumah tangga dan saya percaya cinta selepas berkahwin pasti lebih manis," kata Ina.
Begitupun, hasrat murni tersebut tidak berjalan lancar seperti diharapkan kerana keluarga Hadi tidak merestui hubungan mereka.
Walaupun tidak mendapat restu, Hadi mahu teruskan juga rancangan untuk berkahwin tanpa pengetahuan keluarganya.
Peringkat awal perkahwinan mereka, berjalan lancar seperti biasa di mana masing-masing masih meneruskan proses untuk mencari keserasian.
Seperti pasangan suami-isteri lain, Ina juga menaruh harapan yang tinggi dengan rumah tangga yang dibina.
"Saya akui Hadi lelaki yang baik, tutur katanya lembut dan tidak pernah meninggi suara cuma agak kurang romantik. Dia juga agak pendiam berbanding saya suka bercakap," katanya.
Enam bulan berlalu, Ina mula merasakan ada sesuatu yang kurang dalam rumah tangga yang baru dibina.
Kemesraan yang cuba dipupuk antara mereka berdua seolah-olah tidak menjadi. Rumah tangga terasa hambar tidak ada keceriaan seperti yang diharapkan.
Walaupun tinggal sebumbung, kata Ina, mereka jarang sekali dapat makan atau berbual bersama, apatah lagi untuk tidur sekatil.
"Saya mula perasaan Hadi seolah-olah mahu mengelak atau menjauhkan diri dari saya. Walaupun bekerja pejabat, dia cuma akan pulang ke rumah menjelang tengah malam ketika saya sudah masuk tidur dan dia akan tidur di sofa.
"Bila ditanya, katanya dia menghabiskan masa lepak di rumah rakan-rakan bujangnya dan tak mahu menganggu tidur saya.
"Rupa-rupanya bukan setakat keluarganya yang tidak tahu kami berkahwin, dengan kawan-kawannya juga dia tidak beritahu kami sudah bernikah," kata Ina yang waktu itu menerima saja alasan diberi oleh Hadi.
Sejak berkahwin, Ina juga jarang berpeluang menghabiskan hujung minggu bersama suami kerana lelaki itu akan sentiasa mencari alasan untuk keluar sama ada pulang ke kampung atau keluar daerah bersama rakan-rakannya.
"Jadi setiap hujung minggu melangut saya seorang di rumah. Ingatkan dapatlah bermanja-manja dengan suami. Sebulan dua, saya tahan juga tapi bila dah nak masuk dua tahun hati saya mula memberontak .
"Saya rayu Hadi supaya beritahu kepada keluarga dan rakan-rakannya yang dia sudah berkahwin. Tapi Hadi enggan katanya tunggu dulu.
"Saya pun tak tahu apa yang dia nak tunggu. Malah kerana terlampau memikirkan hal rumah tangga saya pernah jatuh pengsan di pejabat dan doktor kata saya terlalu tertekan," katanya.
Kemuncak kesedihan Ina apabila baru-baru ini dia terserempak Hadi dalam bilik tidur rumah mereka bersama seorang lelaki.
"Waktu itu kebetulan saya tak sihat dan mendapat pelepasan balik awal daripada majikan. Sampai di rumah hati saya cuak terlihatkan kereta Hadi ada di depan rumah.
"Dengan menggunakan kunci rumah yang ada, saya masuk dan saya temui Hadi bersama seorang lelaki di atas katil. Selebihnya fikirlah sendiri.
"Waktu itu dunia saya bagai gelap gelita. Luluh hati saya melihatkan perbuatannya. Padanlah dia cuba mengelak mendekati saya.
"Rupa-rupanya nafsu Hadi bukan pada saya tapi pada kaum sejenisnya. Dia mengaku lelaki tersebut teman istimewanya.
"Kenapalah saya tak nampak selama ni. Suami saya pengikut umat Nabi Luth. Saya tak tahu nak buat apa sekarang, saya minta diceraikan dia tak mahu, saya nak buat laporan di Jabatan Agama kasihan nanti dia malu.
"Itu yang saya datang ke sini mencari ketenangan dan jawapan terhadap kemelut saya," kata Ina sambil menyeka air matanya dan berlalu tanpa menemui sebarang jawapan yang dicari. - Malaysia Chronicle
1 comment:
Salam...
Ina dinasihatkan memberi 1 pilihan antara 2. Menceraikan Ina secara persetujuan bersama atau Ina failkan tuntutan cerai di mahkamah dimana semua kisah akan terbongkar.
Post a Comment