KUALA LUMPUR, 6 Sept ― Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad beranggapan insiden memijak gambar dan membawa bendera Sang Saka Malaya ketika sambutan malam ambang kemerdekaan ke-55 minggu lalu berlaku akibat kerajaan yang lemah.
Jelas Dr Mahathir lagi, bila sesebuah kerajaan itu lemah, sesetengah pihak akan mula mengambil kesempatan dan mereka berani melakukan perkara-perkara sedemikian.
“Semasa zaman saya 22 tahun sebagai Perdana Menteri tidak pernah berlaku perkara ini ... tiada siapa pijak gambar saya.
“Ini berlaku kerana kerajaan kita lemah, kita tidak mempunyai majoriti dua pertiga majoriti Parlimen,” katanya ketika majlis sepetang bersama beliau anjuran Kelab Pesara Kerajaan Lembah Pantai di sini.
“Apabila kita kalah dua pertiga, kita jadi lemah, bila lemah orang berani, bila lemah mereka pijak gambar-gambar kita,” tambahnya.
Menurutnya lagi, kesan kempen Pakatan Rakyat (PR) juga turut menjadi punca berlakunya kejadian sedemian.
“Saya berpendapat ia adalah kesan kempen parti lawan, mereka tidak setia kepada negara , mereka lebih setia kepada parti.
“Ada ramai yang terpengaruh dengan parti lawan, saya percaya jika sifat ini dikembangkan, negara kita tidak akan ada simbol yang diterima semua dan perpecahan akan berlaku antara rakyat,” katanya lagi.
Beliau turut menegaskan, sekiranya perpecahan itu berlaku, negara kita akan musnah dan beliau turut mengingatkan agar majoriti dua pertiga Parlimen perlu diberikan kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) supaya kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu boleh membentuk kerajaan yang kuat dan tegas.
“Saya harap lepas PRU 13 kita dapat wujudkan kerajaan cukup kuat,” katanya lagi. - TMI
No comments:
Post a Comment