30 October 2012

[Penipuan] Hati-hati ....RM100 ribu untuk tebus dosa


Johor Bahru: Sebuah keluarga kerugian lebih RM100,000 selepas ditipu seorang lelaki mengaku dirinya amil zakat yang mampu meramal tarikh kematian serta Hari Kiamat selain menebus dosa mereka yang didampinginya. 


Lebih mengelirukan apabila lelaki terbabit menggunakan pelbagai istilah zakat dan dam yang tidak pernah wujud dalam Islam seperti zakat degil, diri, rumah dan untuk bukan Islam. 

Dalam kejadian 16 Julai lalu itu, mangsa yang juga ibu kepada dua anak mula berkenalan dengan lelaki menggunakan gelaran Nizam@Idris untuk menderma sejumlah wang kepada anak yatim. 



Anak mangsa yang mahu dikenali sebagai Zana, 31, berkata sejak itu, ibunya mula berhubung secara peribadi menggunakan telefon bimbit dengan lelaki terbabit. 

Katanya, lelaki itu mendakwa keluarga mereka mempunyai banyak masalah namun, ia boleh diselesaikan dengan membayar sejumlah wang kepadanya bagi menebus segala kesalahan dan dosa. 

Dia mendakwa dirinya terpilih daripada 200 orang yang mempunyai hubungan terus dengan Tuhan dan dapat meramal tarikh kematian seseorang selain mengetahui bila berlaku Hari Kiamat. 

Dengan hanya meminta tarikh lahir, dia kemudian melakukan solat dan menceritakan pengalaman terbang dan melihat masa depan selain tahu semua perkara mengenai mangsanya, katanya. 
Zana berkata, lelaki terbabit mendakwa untuk menebus dosa anak dan suami, ibunya perlu membayar RM12,444 dengan setiap seorang mempunyai nilai berbeza. 

Disebabkan saya membantah, lelaki terbabit mengenakan dam kepada ibu saya sebanyak RM7,000 selain perlu menggadai barang kemas bernilai RM8,000 kerana dakwanya ibu saya akan meninggal dunia selepas Aidilfitri lalu. 

Ibu seperti dipukau kerana nasihat ahli keluarga tidak diendah, malah menganggap kami musuh. Terbaru, lelaki terbabit mendakwa akan kiamat dan ibu perlu menjual rumah bernilai RM3 juta kepadanya, katanya. 

Berikutan kejadian itu, beliau membuat laporan di Balai Polis Sentral sebelum lebih ramai pihak menjadi mangsa penipuannya. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan terbabit.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive