Dr Muhammad Nur Manuty
Dr Muhammad Nur Manuty
SHAH ALAM - PKR kecewa apabila penjelasan yang dibuat oleh Naib Presidennya, Nurul Izzah Anwar dalam isu kebebasan beragama sengaja ditenggelamkan pihak tertentu bagi mengelakkan rakyat mengetahui perkara sebenar.

Ketua Penerangannya, Dr Muhammad Nur Manuty berkata, Nurul Izzah komited terhadap agama dan tidak akan membuat sesuatu kenyataan yang bertentangan syariat Islam.

“Beliau pemimpin harapan, ia disukai semua kaum dan agama, malah keterampilan dirinya berpaksikan agama Islam.

“Apa yang kita lihat ada pihak cuba menjatuhkan beliau (Nurul Izzah), tetapi kami akan terus memberikan penerangan agar rakyat mendapat pendedahan sebenar,” katanya.


Sebelum ini, dalam forum ‘Negara Islam: Versi Mana; Siapa Bertanggungjawab’, Nurul Izzah dilaporkan berkata setiap rakyat di dalam negara ini tidak seharusnya dipaksa mengamalkan agama-agama tertentu.

Kenyataannya itu dilaporkan portal berita berbahasa Inggeris yang menyatakan bahawa rakyat tidak seharusnya dipaksa mengamalkan agama tertentu dan ia juga terpakai secara sama rata kepada orang Melayu.

Khamis lalu, Nurul Izzah bertemu Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Marzuki Hussin bagi membuat aduan terhadap akhbar yang didakwa memfitnahnya.