23 December 2012

Polis cari bomoh 'ustaz Walid', rogol gadis 12 tahun


Polis buru bomoh disyaki rogol gadis 12 tahun

23 Disember 2012
ALOR SETAR - Polis Kota Setar sedang memburu seorang lelaki berusia 64 tahun yang didakwa merogol seorang gadis bawah umur ketika mangsa mendapatkan rawatan tradisional daripadanya, dalam kejadian tahun lepas.
Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Adzaman Md Jan berkata polis menjejaki suspek yang dikenali sebagai 'Walid' itu sejak Februari lepas, susulan laporan polis yang dibuat ibu mangsa.
Gadis berusia 12 tahun itu mendakwa dirogol beberapa kali oleh bomoh tersebut ketika menjalani rawatan membuang sihir, di sebuah rumah sewa di Taman PKNK, Jalan Sultanah di sini antara September dan November lepas, katanya di sini hari ini.
Katanya polis mendapati suspek sudah berpindah keluar daripada rumah sewanya yang turut dijadikan pusat rawatan dan dipercayai berada di luar daerah ini.
Sementara itu, ibu mangsa yang ditemui pemberita, berkata anak saudaranya yang berusia 16 tahun juga mendakwa dicabul bomoh tersebut ketika menemani sepupunya menjalani rawatan berkenaan.
Dakwanya setiap kali rawatan, lelaki tersebut akan meminta untuk bersendirian dengan anak gadisnya di dalam sebuah bilik, kononnya bagi melancarkan proses rawatan.
"Selepas beberapa kali jalani rawatan anak saya cerita perkara sebenar yang dia dirogol oleh pengamal perubatan itu dan terus membuat pemeriksaan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.
"Doktor mengesahkan terdapat kesan koyakan pada kemaluan anak saya," katanya.- Bernama

Bomoh rogol murid tahun enam
MOHAMAD FAKHRI MOHD ALI
23 Disember 2012
Bomoh rogol murid tahun enam
Asmah (kiri) bersama anaknya menunjukkan surat pengesahan hospital dan laporan polis.
ALOR SETAR – Seorang murid perempuan tahun enam di sini trauma selepas menjadi mangsa nafsu serakah bomoh bergelar ‘ustaz’ apabila dipercayai dirogol berulang kali dalam kejadian berasingan di Taman PKNK, sejak awal tahun lalu.

Lelaki berusia 64 tahun itu dikatakan mengambil kesempatan melampiaskan nafsu selepas mangsa ditinggalkan ibunya kepada ‘ustaz’ berkenaan di rumah itu untuk sesi rawatan pada waktu pagi sebelum menjemputnya pada waktu tengah hari.

Ibunya, Asmah, 47, (bukan nama sebenar) berkata, dia tidak menyangka anaknya menjadi mangsa nafsu serakah lelaki itu kerana beranggapan lelaki itu akan cuba membantu anaknya yang didakwanya mempunyai sejenis penyakit dalam badan.

Katanya, dia hanya dapat tahu perkara itu selepas anaknya menceritakan peristiwa hitam itu kepada sepupunya sebelum diberitahu kakaknya.

“Masa itu saya nak buat rawatan kepada mak sebab badan dia sering gatal. Selepas dapatkan rawatan, penyakit mak pulih. Pada masa sama, lelaki itu turut memberitahu anak saya alami sejenis penyakit dalam badan dan perlu rawatan secepat mungkin.

“Saya memang tidak sangka lelaki itu tergamak buat macam ini kepada anak saya sebab saya beranggapan dia akan tolong anak saya betul-betul. Boleh dikatakan selang sehari saya dapatkan khidmat daripada lelaki itu untuk ubati penyakit anak,” katanya.

Menurutnya, lelaki itu mendakwa anaknya perlu dimasukkan ke dalam sebuah bilik tanpa teman untuk elak gangguan semasa sesi rawatan.

“Percaya dengan kata-kata itu, saya pun tunggu di ruang tamu. Selepas sesi rawatan, 'ustaz' itu memaklumkan anak saya mempunyai penyakit misteri, iaitu terdapat batu dalam badannya dan perlu dikeluarkan melalui kemaluan.

“Pada suatu hari, dia sekali lagi minta saya hantar anak ke rumahnya untuk selesaikan rawatan sepenuhnya. Kemudian, saya hantar anak ke rumah lelaki itu sambil ditemani sepupunya,  namun lelaki itu menghalau kami pulang kerana membawa teman. Dakwanya kalau bawa teman rawatan tidak boleh dilakukan.

“Bagaimanapun, selang dua minggu kemudian, lelaki itu menghubungi saya dan meminta anak saya datang ke rumah itu secepat mungkin untuk menyelesaikan penyakitnya dan dibenarkan bawa teman. Saya pun tinggalkan anak dan anak saudara yang berumur 16 tahun di rumah itu sebelum menjemput mereka pada waktu tengah hari selepas selesai waktu bekerja,” katanya.

Asmah berkata, dia tidak sangka peristiwa hitam itu akan berlaku setelah anaknya memaklumkan dirinya dirogol lelaki itu sementara anak saudaranya pula dicabul kemaluannya sepanjang berada di rumah itu.

“Selepas mengetahui perkara itu, saya bawa anak dan anak saudara ke Hospital Sultanah Bahiyah, di sini untuk mendapatkan rawatan dan pemeriksaan. Doktor yang merawat turut mengesahkan bahawa terdapat kesan koyakan pada kemaluannya.

“Saya tidak puas hati dengan perbuatan lelaki itu dan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar supaya anak saya mendapat pembelaan sewajarnya,” katanya.

Asmah turut merayu polis bertindak segera kerana laporan sudah dibuat sejak tahun lalu.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive