06 March 2013

Ismail: Tembak menembak berlaku di tiga lokasi Tanjung Batu, Lahad Datu




6 Mac 2013
KUALA LUMPUR - Tembak menembak antara anggota keselamatan dan kumpulan pengganas berlaku di tiga lokasi di kampung Tanjung Batu, Lahad Datu, Sabah petang ini tatkala pasukan keselamatan meneruskan operasi susulan dan penggeledahan dalam Op Daulat.

Pasukan keselamatan negara mula membuat pemeriksaan di perkampungan itu pada pukul 3 petang untuk menjejaki musuh yang memasuki kawasan kampung berkenaan.

"Pada kira-kira 4.15 petang berlaku tembak menembak di tiga lokasi kampung itu dan kami percaya ada musuh yang gugur, tetapi waktu ini saya tidak dapat sahkan jumlah musuh yang terkena tembakan," kata Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.


Ismail, pada sidang akhbar bersama Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zain pada pukul 6 petang ini, berkata tiada anggota keselamatan yang cedera dalam kejadian itu dan tiada yang dijadikan tawanan pihak musuh.

Semalam, pasukan keselamatan melancarkan serangan udara menggunakan jet pejuang F18 dan Hawk sebagai gerakan pertama ke arah menamatkan pencerobohan pengganas Sulu sejak 12 Feb lepas.

Sesudah itu, gerakan susulan dan penggeledahan dilakukan rumah ke rumah bertumpu di sekitar kawasan empat kilometer persegi di kampung itu bagi memburu kumpulan pengganas itu.

Kawasan operasi kini diperluas setiap dua kilometer berikutan pasukan keselamatan mengesan kumpulan pengganas sedang bergerak ke tempat-tempat tertentu

Zulkifeli berkata pasukan keselamatan kini memperluaskan kawasan operasi dan penggeledahan untuk mencari senjata api yang dipercayai ditanam di kawasan terbabit.

"Kami yakin masih ada saki baki pengganas di kawasan Kampung Tanduo," katanya.

Kedua-dua pimpinan tertinggi pasukan keselamatan negara itu turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang banyak menghantar SMS kepada mereka memberi sokongan dan semangat serta diiringi doa untuk keselamatan dan kejayaan pasukan keselamatan dalam Op Daulat.

"Kami berdua ucap berbanyak terima kasih kepada rakyat Malaysia yang memberikan sokongan dan doa untuk meningkatkan semangat kami," katanya. - Bernama


Panglima: 9 mayat yang ditemui terbunuh Jumaat

Panglima angkatan tentera Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin menjelaskan bahawa timbunan mayat ditemui dalam satu lahad di Kampung Tanduo adalah korban dalam pertempuran yang berlaku di antara pasukan keselamatan dan penceroboh Filipina sebelum Ops Daulat dilancarkan.

Katanya, 12 penceroboh berkenaan terbunuh ketika pertempuran pada 1 Mac.

Namun, pasukan keselamatan hanya menemui sembilan mayat di dalam lahad tersebut, katanya.

Pasukan keselamatan percaya terdapat tiga lagi mayat yang kini sedang dikesan, tambahnya.

Mayat berkenaan mungkin telah dikebumikan atau dibawa ke kawasan lain yang tidak diketahui, katanya dalam satu sidang media di Felda Sahabat Residence petang ini.

Jumlah penceroboh yang dibunuh sejak konflik ini bermula adalah 13 orang, termasuk seorang yang ditembak mati pagi ini.

Terdahulu, dua menteri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Seri Zahid Hamidi mendedahkan gambar menunjukkan bukti kematian berkenaan dalam satu sidang media petang ini.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive