SHAH ALAM – Serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas Pejabat Bible Society of Malaysia (BSM) di Damansara Kim, Khamis lalu adalah mengikut undang-undang, kata Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa.
Menurutnya, serbuan tersebut menunjukkan pihak berkuasa agama di negeri Selangor bertanggungjawab mengikut peraturan-peraturan yang sedia ada dalam menjalankan tugas menguatkuasakan perundangan Islam di negeri ini.
“Apakah tujuan (gereja Katolik di Selangor terus menggunakan kalimah ALLAH dalam perhimpunan mingguannya) mereka itu? Tidak lain dan tidak bukan adalah kemungkinan untuk kelirukan orang Islam dengan kalimah ALLAH, yang kita bertuhankan ALLAH yang satu sedangkan mereka (Kristian) bertuhankan tiga (triniti) .
“Apakah tujuan mereka menggunakan kalimah ALLAH bukannya God dalam bible itu,” katanya sewaktu berucap di Majlis Penyerahan Sumbangan Amal dan Penutupan Promosi Jualan Akhir Tahun di ruang legar Kompleks PKNS, semalam.
Tegasnya, Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Bukan Islam) telah diguna pakai di negeri ini sejak 1988, bukannya baru sekarang malah telah dimasukkan dalam perlembagaan.
“Cuba fikir jika kalimah ALLAH digunakan oleh orang bukan Islam. Di botol arak, di rumah karaoke atau di mana sahaja contohnya botol arak cap Kaabah. Apakah akan terjadi?
“Inilah yang merunsingkan kita. Sultan sebagai ketua agama mengingatkan perkara ini bukanlah satu perkara yang remeh dan ia perlu ditangani dengan baik,” katanya.
Dalam pada itu, Persatuan Peniaga Kompleks PKNS Shah Alam sebulat suara turut menyatakan sokongan padu ke atas titah Sultan Selangor dalam isu Kalimah ALLAH dan mahu keamanan dan keharmonian yang sedia ada dikekalkan.
Kutipan amal sebanyak RM245,000 untuk Tabung Gaza daripada sumbangan peniaga-peniaga dan pengunjung Kompleks PKNS Shah Alam berjaya dikumpul sepanjang program promosi Jualan Akhir Tahun PKNS yang bermula 5 Disember dan berakhir hari ini. - Sinar Harian
No comments:
Post a Comment