Ketua Polis Selama, Deputi Superintendan Wan Jamil Wan Chik, berkata kegiatan kumpulan itu terbongkar selepas seorang pengikut membuat laporan polis supaya JAIP tidak mengganggu aktiviti mereka yang diadakan di rumah terbabit.
Lapan warga asing antara 114 pengikut Syiah yang ditahan dalam serbuan di Hutan Simpan Bintang Hijau, berhampiran sempadan daerah ini dan Gerik, malam kelmarin.
Mereka yang berumur antara tujuh hingga 70 tahun, membabitkan 54 lelaki, 28 wanita, 32 kanak-kanak diberkas kira-kira jam 10 malam ketika meraikan majlis di sebuah rumah.
Warga asing yang ditahan, termasuk tiga dari Thailand, masing-masing dua dari Myanmar dan Pakistan serta seorang warga Indonesia.
Serbuan dilakukan 150 pegawai dan anggota polis bersama penguat kuasa Jabatan Agama Islam Perak (JAIP).
Pengikut Buat Laporan
Ketua Polis Selama, Deputi Superintendan Wan Jamil Wan Chik, berkata kegiatan kumpulan itu terbongkar selepas seorang pengikut membuat laporan polis supaya JAIP tidak mengganggu aktiviti mereka yang diadakan di rumah terbabit.
“Susulan laporan meragukan itu, polis menjalankan siasatan bersama JAIP dan memantau aktiviti mereka sebelum melakukan serbuan.
“Mereka yang ditahan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Selama untuk proses dokumentasi dan diserahkan kepada JAIP bagi tindakan susulan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penguat Kuasa Agama Perak, Ahmad Nizam Amiruddin, berkata tangkapan pengikut Syiah berkenaan adalah yang teramai, berbanding dua operasi sebelum ini.
“Hasil pemeriksaan kami turut merampas beberapa buku mengandungi maklumat mengenai Syiah selain batu turbah, bendera dan gambar. Semua yang ditahan dibebaskan dengan bon jaminan dan akan dipanggil semula oleh JAIP untuk siasatan lanjut,” katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 16 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Perak 1992 kerana melanggar fatwa berkaitan pengharaman Syiah. - BH
No comments:
Post a Comment