19 May 2014

Litar Antabangsa Sepang [SIC] ... Litar maut


INSIDEN maut yang membabitkan pelumba Itali, Simoncelli (terjatuh) ketika perlumbaan MotoGP GP Malaysia pada tahun 2011.


TIDAK sampai 48 jam, kemalangan maut sekali lagi berlaku pada perlumbaan Super Siri Malaysia (MSS) 2014 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Penunggang kategori Superbike bernombor 71, Milton Poh menjadi mangsa keempat yang terbunuh di litar itu selepas jentera yang ditunggangnya bergesel dengan penunggang dari Itali, Leornado Sacchetto ketika sedang keluar dari pit perlumbaan.
Pergeselan tersebut menyebabkan pelumba dari Singapura itu gagal mengawal motosikalnya lalu terbabas ke kanan litar dan merempuh tembok.
Milton dikejarkan ke Hospital Putrajaya selepas mengalami kecederaan serius di kepala dan tidak sedarkan diri manakala Sacchetto bagaimanapun dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan dan masih menerima rawatan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh SIC, aksi perlumbaan hari kedua terpaksa dipendekkan berikutan kemalangan yang berlaku sekitar pukul 12.30 tengah hari semalam.
“Ia adalah minggu yang cukup malang buat kami (SIC), pelumba dan mangsa. Kami amat bersimpati kepada keluarga dan rakan mangsa dengan apa yang telah berlaku,” ujar kenyataan yang dikeluarkan oleh SIC semalam.
Pada Jumaat lalu, Amaludin Abd. Rahman maut dalam kemalangan semasa sesi latihan pusingan pertama kejuaraan motosikal tersebut.
Pelumba novis berusia 42 tahun itu dipercayai gagal mengawal jenteranya di selekoh 15 litar tersebut sebelum terbabas dan melanggar penghadang tayar pada pukul 4.30 petang.
Mangsa beraksi dalam kategori Super Stock B pada kejuaraan tahunan itu.
Amaludin menjadi mangsa kemalangan maut ketiga di litar tersebut yang kali terakhir berlaku pada 2011.
Pada kejuaraan sama tahun lalu, pelumba muda Muhammad Izzat Mohd. Abdul Hakim, 17, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL), lima hari selepas jenteranya terbabas dan melanggar marsyal perlumbaan pada sesi latihan.
Pelumba MotoGP Marco Simoncelli dari Itali turut menemui ajal di litar tersebut pada 23 Oktober 2011 apabila jentera yang ditunggangnya terbabas pada ketika bersaing pada MotoGP Grand Prix Malaysia.
Pelumba yang ketika itu berusia 24 tahun, bergesel dengan penunggang Amerika Syarikat, Colin Edwards dan rakan sepasukan, Valentino Rossi di selekoh kedua.
Pada selekoh kedua, pelumba Honda itu yang berada di kedudukan keempat pada waktu kejadian, hilang kawalan di Turn 11 dan bergesel dengan kedua-dua penunggang tersebut sebelum terjatuh.
Bedah siasat mendapati Simoncelli mengalami kecederaan parah di kepala, leher dan dada akibat dilanggar daripada pergeselan tersebut.
Insiden tersebut merupakan kemalangan maut pertama yang berlaku di Litar Sepang sejak mula beroperasi pada 1999.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0519&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz327AJONp9 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive