19 May 2014

Pencalonan saya bukti Pakatan Rakyat martabatkan wanita – Dyana


MUHAMMAD FAIZAL | .



TELUK INTAN: Calon DAP bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud menyifatkan pencalonan beliau pada PRK kali ini membuktikan Pakatan Rakyat memartabatkan kaum wanita serta menghormati anak muda.

Beliau yang berucap pada pelancaran jentera Pakatan Rakyat di Kampung Bahagian turut menegaskan pencalonan beliau turut membuktikan bahawa DAP tidak mengamalkan politik perkauman seperti mana tuduhan Umno selama ini.

"Ini membuktikan dengan jelas, Pakatan Rakyat menaikkan martabat kaum wanita serta menghormati anak muda dan menolak politik perkauman," ucap beliau.

Beliau yang turut mencabar Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil agar meletakkan calon wanita muda bagi mewakili Umno pada pilihan raya akan datang sebagai membuktikan parti itu menghormati kepimpinan anak muda.


"Shahrizat kata saya belum sedar, terima kasih atas nasihat beliau. Cuma saya nak tanya adakah beliau boleh meletakkan calon pimpinan anak muda yang sebaya dengan saya pada pilihan raya nanti.

"Kalau boleh lakukan mungkin saya boleh mendengar Shahrizat memberi nasihat lagi pada masa akan datang," sambung beliau.

Beliau juga meminta pengundi Teluk Intan memberi peluang kepadanya bagi membawa suara rakyat dan menentang dasar-dasar kerajaan yang menekan hidup rakyat.

"Ada orang kata saya jadi calon ni kerana nak glamour, kalau saya nak glamour lebih baik saya jadi artis dan bukannya masuk dunia politik.

"Saya masuk dunia politik kerana ingin berjuang untuk rakyat, saya lihat perjuangan pimpinan DAP seperti Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng semangat mereka yang telah membakar semangat saya untuk berada dalam persada politik," katanya lagi di hadapan kira-kira seribu yang hadir.

Dyana juga menyeru agar semua pengundi luar balik mengundi dan memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat, khususnya DAP bagi memastikan hak rakyat terus diperjuangkan.- HARAKAHDAILY, 19/5/2014

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive