Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) disiasat polis London ekoran pandangan pembaca sebuah portal yang mendakwa mereka menggunakan dana awam dalam perjalanan pertubuhan itu ke London, kata Datuk Ibrahim Ali.
Presiden Perkasa itu berkata, polis London mengambil kenyataan ketua wiranita Perkasa dan ketua penaja sehari sebelum acara perasmian Perkasa London diadakan.
"Sehari sebelum kita adakan majlis di London, polis British datang jumpa ketua penaja, dan ketua wiranita Perkasa untuk merekodkan kenyataan sebab mungkin dia baca laporan di Internet yang mendakwa Perkasa ekstremis dan gangster.
"Semua Bumiputera di London pun tahu. Kami pergi belanja dengan sendiri, naik kelas ekonomi. Tiket murah. Masing-masing bayar sendiri," katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Perkasa di Kuala Lumpur hari ini.
Ibrahim dalam satu kiriman SMS pada hujung bulan lalu memaki hamun portal berita Malaysiakini kerana menyiarkan komen pembaca yang mendakwa pertubuhan itu menggunakan dana kerajaan dalam misinya ke London.
Artikel yang bertajuk “Adakah duit pembayar cukai digunakan untuk ke Eropah?” mencetuskan kemarahan Ibrahim yang mengirimkan SMS berkenaan dari London.
Menerusi satu SMS lain, Ibrahim berkata, "Malaysiakini adalah laman web pelacur yang tak ada harga diri”, lapor portal berita itu.
"Celaka punya tajuk. Malaysiakini ini betul-betul pembawa fitnah dan dajal. Siapa yang tulis berita ini?
"Kurang ajar punya tajuk. Mana Perkasa terima dana pembayar cukai. Tajuk amat jahat untuk buat pembaca marah,” katanya yang dilaporkan Malaysiakini.
Ibrahim berkata, ahli Perkasa di London menetap di Dewan Malaysia dengan bayaran £18 sehari dan berkongsi dua orang sebilik.
Bagaimanapun katanya, sambutan yang diterima daripada Bumiputera di London menggalakkan sehingga pengunjung terpaksa berasak-asak dalam sebuah restoran yang menjadi lokasi pertemuan.
“Memang biadap dan kurang ajar orang yang menuduh ini. Tak pernah dalam sejarah, polis British datang tetapi majlis itu dapat sambutan luar biasa.
“Kami buat di sebuah restoran memuatkan 180 orang. 60 orang lagi berdiri di luar, tak boleh masuk. Semuanya lebih kurang 245 orang.
“Beberapa orang Melayu dari Belgium, Perancis, Belanda, Jerman datang untuk menghadiri pelancaran Perkasa Eropah,” katanya.
Beliau berkata, perasaan marahnya terhadap media yang memburuk-burukkan Perkasa kini sudah beransur hilang.
Sebaliknya, beliau gembira kerana liputan berkenaan menjadikan Perkasa semakin popular walaupun terus dikecam dan dihina.
“Saya sangat gembira kerana perhimpunan itu dikira terbesar di London yang dihadiri Bumiputera. Ketua Kelab MIC London pun hadir. Kita buat dialog dan mereka menyokong pelbagai parti politik.
“Saya pun dah kurang marah. Nak buat fitnah, kecam dan hina Perkasa teruskan kerana ini akan bantu Perkasa popular dari hari ke hari.
“Terima kasih kepada Malaysiakini dan The Malaysian Insider.kerana menjadikan Perkasa lebih popular,” katanya yang disambut gelak ketawa wartawan yang hadir.
Dalam sidang media sama, Ibrahim turut menyelar tiga rang undang-undang baru yang dicadangkan Majlis Konsultasi Perpaduan Nasional (MKPN) kerana lebih ramai akan terlepas daripada tuduhan hasutan.
Katanya, ahli MKPN Datuk Saifuddin Abdullah dan Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa tidak seharusnya mencadangkan akta itu menggantikan Akta Hasutan kerana mereka yang berpengalaman membangkang akta baru itu.
“Saya dah lihat. Nama rangnya sedap. Harmoni dan pelbagai tetapi segala perkara yang berkaitan Akta Hasutan dan sebagainya sudah tiada.
“Jika sampai ke peringkat Tribunal Diskriminasi, macam mana kerajaan nak berfungsi, jika asyik dibawa ke tribunal. Asyik bicara inilah hari-hari nanti.
“Itu kata mereka. Banyak pakar undang-undang termasuk bekas ketua hakim dan bekas ketua polis negara sudah mengkaji tiga akta tersebut dan ditolak secara total,” katanya.
Ibrahim berkata ahli politik dalam MKPN yang mencadangkan rang undang-undang berkenaan hanya mahu mencari kelebihan politik daripada Melayu liberal dan bukan Islam.
“Yang mendakwa Akta Hasutan lapuk salah seorangnya Saifuddin. Saya ni Melayu lapuk, dia Melayu baru. Dia sedar tak apa yang dia cakap? Ini semua politik.
“Itu kata dia. Dari segi amalannya lain nanti. Apa Saifuddin dia rasa lebih hebat dari Tun Hanif Omar dan Tan Sri Rahim Noor? Orang ini berpengalaman dan berilmu.
“Ini semua ahli politik baru yang nak cari penyokong bukan Islam dan Melayu liberal,” katanya. – 18 Jun, 2014.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/polis-london-siasat-perkasa-kerana-komen-pembaca-portal-kata-ibrahim-ali#sthash.ojFXeilu.dpuf
1 comment:
perkasa lebih pakar jaga melayu dari umno???...kah kah kah
Post a Comment