Buku terbaru yang ditulis pengkaji Perancis mendedahkan kumpulan berasaskan kaum seperti Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiyah SeMalaysia (Pekida) wujud untuk memberi bantuan kepada parti pemerintah Umno supaya terus berkuasa.
Dalam buku berjudul "Misplaced Democracy: Malaysian Politics and People", pengkaji politik Sophie Lemiere menulis pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Pekida khususnya adalah ‘militan sukarela’ di mana tindakan dan arah tuju mereka demi kepentingan parti pemerintah.
Tindakan tersebut boleh jadi sah atau tidak sah, berbentuk sokongan, atau demonstrasi atau mungkin juga menggunakan kekerasan.
Buku tersebut, kompilasi karangan pelbagai penulis dan Lemiere berperanan sebagai penyuntingnya, mengandungi satu bab yang ditulisnya sendiri iaitu bertajuk "Gangsta and Politics in Malaysia".
Dia menulis yang Umno mempunyai hubungan lebih kuat dengan kumpulan berasaskan kaum ini berbanding parti lain. Hal ini disebabkan parti pemerintah sudah mencipta keperluannya dan mengekalkan suasana yang sesuai menyokong pertumbuhannya.
Dalam konteks Malaysia, katanya, militan sukarela ini adalah seperti "nadi" dan "angka" yang diperlukan watak politik rasmi untuk berdepan pihak lawan, sama ada semasa pilihan raya, aktiviti berkempen, demonstrasi atau kontroversi.
Lemiere memiliki PhD dan Sarjana dalam Perbandingan Politik daripada Institut Pengajian Politik Paris (atau dikenali juga sebagai Sciences-Po) di Perancis.
Beliau berkata kumpulan NGO tersebut mula berkembang ketika zaman pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi perdana menteri dari 2003 hingga 2009.
Katanya, kumpulan ini menggunakan retorik berasaskan agama dan identiti yang sebelum ini tidak diketahui atau tidak pernah wujud.
"Menurut seorang pemimpin Pekida di Subang Jaya, 'era pemerintahan Abdullah adalah zaman keemasan Pekida, dia seperti ayah angkat kami'.
"Semasa awal pentadbirannya, Abdullah memerlukan sokongan yang kuat dan untuk memastikan pengaruh partinya, Abdullah menggunakan rangkaian pertubuhan tersebut di mana beliau diangkat sebagai penaung," tulis Lemiere.
Lemiere berkata, semasa krisis di Perak pada 2009 apabila tiga ahli Pakatan Rakyat (PR) keluar dan menyertai Barisan Nasional (BN), terjadi beberapa insiden keganasan dan demonstrasi menentang pemimpin PR yang menyokong pembubaran dewan selepas itu.
"Pada ketika itulah ahli Pekida muncul, mengibarkan secara terbuka bendera tiga warna pertubuhan mereka (kuning, merah, hijau) dan memakai lilitan kuning di kepala bertulis Daulat Tuanku.
"Walaupun mereka lakukan keganasan, tiada ahli militan Pekida yang ditangkap," tulisnya.
Sebaik selepas kejadian itu, beberapa pemimpin dan ahli Pekida yang ditemubual di Perak, kubu kuat kumpulan itu, bercakap tentang rampasan kuasa BN di Perak itu dengan nada bangga dan mengakui 'orang mereka' terlibat dalam keganasan itu, malah sedia membantu Umno jika mereka memerlukan lebih pertolongan.
Lemiere berkata, percaturan ini yang menyebabkan Pekida mudah bergiat aktif secara sah dan berdaftar sebagai NGO yang sah disisi undang-undang.
Katanya, dia tidak dapat mengganggarkan jumlah sebenar ahli Pekida seluruh negara kerana rangkaiannya yang agak terselindung.
Kajian beliau mendapati ahli Pekida wujud merata Semenanjung Malaysia, dalam segenap lapisan masyarakat, di kota dan di desa, dan di setiap institusi sama ada negeri, politik, sosial atau ekonomi.
"Beberapa invididu terkenal didakwa atau terbukti ahli Pekida. Mereka tidak mengambil bahagian dalam aktiviti politik, tetapi lebih banyak mengguna rangkaian mereka untuk menjalankan perniagaan serta sebagai perlindungan: anak ahli politik, penyanyi hip hop dan pop, ahli politik, ahli perniagaan, penjawat awam atau askar.
"Jadi, ahli Pekida terdiri daripada penduduk luar bandar yang berpendapatan rendah hinggalah ke masyarakat elit bandar. Dan rangkaiannya, walaupun kebanyakannya Melayu, ia sebenarnya inklusif. Pekida mungkin salah satu contoh konsep 1Malaysia yang disukai Najib," tulis Lemiere.
Selain itu, katanya, kebanyakan ahli Pekida percaya aktiviti politik dan 'kabel' mereka membolehkan mereka lepas daripada tindakan undang-undang. Oleh itu, mereka juga tidak takut dengan pihak berkuasa polis.
Salah satu saluran yang digunakan untuk merekrut ahli Pekida adalah menerusi kumpulan persilatan dan banyak kumpulan silat adalah rangkaian Pekida. Lemiere melihat perkara ini sebagai "langkah semulajadi" kepada militan politik.
Ahli Pekida juga mengaku bertanggungjawab dalam beberapa aktiviti keganasan melibatkan pertelingkahan agama dan kaum, tulis Lemiere.
Lemiere juga mendedahkan Pekida sering dikenali sebagai Tiga Line, merujuk kepada simbol tiga warna bendera rasmi kumpulan tersebut - kuning, merah, hijau.
Pada Ogos tahun lepas, kumpulan Tiga Line termasuk antara senarai pertubuhan haram yang dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri dalam usaha membanteras kegiatan kongsi gelap.
Presiden Pekida, Jamaludin Yusof pada Oktober lepas menafikan sebarang kaitan pertubuhan tersebut dengan Tiga Line.
Buku tersebut diterbitkan Strategic Information and Research Development Centre Malaysia. – 7 September, 2014 TMI
1 comment:
Kalau buku tu tak dedahpun 1Malaysia dah maklum!
Post a Comment