04 September 2014

Kajian dedahkan majoriti pengundi Melayu Selangor mahu PAS tinggalkan Pakatan

Hampir 3 daripada 5 pengundi Melayu di Selangor mahu PAS meninggalkan Pakatan Rakyat (PR), manakala kebanyakan pengundi Cina dan India mahu gabungan itu kekal utuh, menurut kajian bersama yang dijalankan The Malaysian Insider dan Merdeka Centre.
Kaji selidik yang dijalankan semasa kemuncak krisis menteri besar Selangor mendapati pengundi Selangor terbahagi sama rata antara mereka yang mahu parti Islam itu keluar atau kekal dalam pakatan itu, manakala seorang daripada 6 pengundi tidak membuat keputusan.
Pecahan etnik seramai 808 responden bagaimanapun menunjukkan 58% Melayu mahu PAS keluar daripada PR. Tetapi, hanya 29% daripada pengundi Cina, dan 19% pengundi India bersetuju.
"Saya percaya pengundi Melayu itu adalah gabungan penyokong Barisan Nasional dan PAS yang percaya terdapat kekurangan apabila bersama Pakatan," kata Pengarah Eksekutif Merdeka Center Ibrahim Suffian kepada The Malaysian Insider.
Bagaimanapun Ibrahim berkata, PAS tidak akan mendapat keuntungan dengan mendengar sentimen pengundi Melayu Selangor dan tindakan meninggalkan PR hanya akan memberi manfaat kepada pesaing politik mereka.
"Di Selangor, PAS pasti akan kalah jika ia melakukannya secara sendirian. 50% daripada pengundi terdiri daripada bukan Melayu. Walaupun pertandingan PAS di kawasan yang dominan Melayu, mereka masih bergantung kepada undi bukan Melayu," katanya.
Kaji selidik yang berlangsung dari 11 Ogos hingga 17 Ogos itu juga mendapati jurang etnik yang jelas apabila pengundi ditanya sama ada PAS sepatutnya menyokong Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk kekal sebagai menteri besar.
Sebanyak 81% pengundi Melayu yang ditemubual berkata PAS harus terus menyokong Khalid walaupun selepas PKR menyingkirkannya, berbanding 21% Cina dan 33% India.
Ketika ditanya apa yang PAS patut lakukan semasa tempoh kebuntuan, 40% Melayu yang ditemubual berkata PAS perlu bekerjasama dengan Umno Selangor untuk menyokong Khalid, manakala 31% daripada mereka berkata PAS harus menyokong Khalid walaupun PR akan berpecah kerananya.
Hanya 14% daripada orang Melayu bersetuju PAS harus berlembut dan bersetuju dengan PKR dan DAP.
Sebaliknya, 4% daripada Cina dan 8% daripada pengundi India berkata "ya" kepada perikatan Umno-PAS di Selangor untuk menyokong Khalid; dan 12% Cina dan 8% daripada pengundi India bersetuju PAS harus menyokong Khalid walaupun PR akan berpecah.
Bagaimanapun 55% dan 53% daripada orang Cina dan India, mahu PAS bersetuju dan menyokong keputusan sekutunya untuk menggantikan Khalid dengan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Ketika ditanya mengapa ada kecenderungan Melayu mahu PAS menyokong Khalid, Ibrahim berkata satu sebab adalah kerana beliau bakal digantikan seorang wanita.
Kaji selidik itu mendedahkan hanya 34% daripada responden Melayu berasa negara sudah bersedia menerima menteri besar wanita secara umum, berbanding 83% daripada pengundi Cina dan India yang bertindak balas secara positif kepada idea itu.
"Satu perkara lagi ialah, terdapat perpaduan antara sokongan daripada orang Melayu yang merupakan penyokong BN, yang mahu Khalid kekal. Kita juga dapati ada penyokong PAS bersama-sama ketetapan parti," kata Ibrahim.
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Majlis Syura parti itu pada mulanya memberi sokongan kepada Khalid untuk kekal sebagai menteri besar.
Tetapi Jawatankuasa Pusat PAS akhirnya mengambil keputusan pada 17 Ogos – hari terakhir kaji selidik Merdeka Centre - untuk menyokong Dr Wan Azizah dan Mohamed Azmin Ali untuk jawatan itu.
Khalid kekal sebagai menteri besar walaupun dipecat PKR kerana Sultan Selangor memberikan perkenan kepadanya pada 11 Ogos selepas diyakinkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang itu masih mendapat sokongan majoriti Dewan Undangan Negeri (DUN).
Bagaimanapun, Khalid meletak jawatan pada 26 Ogos, selepas PAS mengumumkan ia tidak lagi menyokong beliau. Bagaimanapun, Sultan menunda peletakan jawatannya dan mahu beliau kekal sehingga menteri besar baharu dilantik.
Sultan Sharafuddin Idris Shah juga menetapkan setiap pemimpin parti dalam PR menghantar lebih daripada tiga nama untuk jawatan menteri besar Selangor, walaupun PR sudah mengemukakan surat sokongan kepada Dr Wan Azizah, yang ditandatangani 30 Adun.
PKR dan DAP memutuskan untuk berpegang kepada keputusan asal mereka dengan hanya mencalonkan Dr Wan Azizah di sebalik titah Sultan, merujuk kepada konvensyen 2013 dan 2008.
Bagaimanapun, PAS menghantar nama Dr Wan Azizah dan Azmin kepada istana, satu tindakan yang boleh menyebabkan ketegangan hubungan antara ketiga-tiga sekutu PR. – TMI 4/9/ 2014.

2 comments:

Jawe said...

Kajian MC ni rasanya dah kurang dipercayai selepas kes pemberhentian pengarahnya dulu. PAS akan rugi seumur hidup kalau keluar PR, itu realitinya sekarang.

Suparman said...

Parti kangkong yang berhempas pulas suruhPAS keluar dari PR.....aleh divide and rule punya konsep.Bila PAS keluar dari PR PAS akan kalah banyak kerusi Parlimen begitu juga PKR dan DAP.Bila ini terjadi parti Kangkong akan celebrate dan dapatkan dua pertiga kerusi parlimen. Dah boleh baca niat parti cap kangkong untuk kucar kacirkan PR.Insyallah Kangkong akan berputih mata.....he he he sayor kangokong goreng sedaaaap

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive