Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya Fahmi Zainol berkata pihaknya tetap akan meneruskan pidato Datuk Seri Anwar Ibrahim sekalipun pun beliau tidak berjaya masuk ke kampus itu.
Mahasiswa itu berkata jika hal demikian berlaku, pemimpin pembangkang itu akan menyampaikan pidatonya bertajuk '40 Tahun Dari UM Ke Penjara, Signal Kebangkitan Mahasiswa' di luar pintu pagar utama Kuala Lumpur.
“Di peringkat kami sekiranya tidak boleh, kami tidak akan mengambil tindakan yang radikal. Kita mahasiswa kita bijak menilai.
“Kita akan buat di luar pintu pagar Kuala Lumpur untuk beliau memberi pidato," katanya dalam sidang medianya pagi ini.
Presiden PMUM itu turut menambah, beliau sudah menghantar emel dan mesej kepada Naib Canselor UM, Prof Dr Mohd Amin Jalaludin bagi meminta kebenaran menjalankan program malam ini namun masih belum menerima maklum balas.
PMUM akan bertemu sendiri dengan Prof Dr Mohd Amin Jalaludin petang ini di pejabatnya bagi meminta kebenaran.
“Kami akan memastikan perjalanan malam ini berjalan dengan baik, kita akan cuba berunding dengan pihak pengurusan universiti petang ini, Insya-Allah.
“Kita akan jumpa dengan Naib Canselor untuk berbincang dan meminta kebenaran beliau demi memastikan program ini berjalan dengan lancar.
“Beliau masih belum respons mesej dan emel saya, tapi kita cuba ke pejabat Prof Amin sendiri,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, programitu akan tetap diteruskan walaupun pihak Universiti tidak memberi kebenaran kepada PMUM.
Fahmi turut menjelaskan dengan tegas bahawa beliau sedia berdepan dengan apa juga tindakan tatatertib oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Universiti Malaya ( TNC HEP UM), Datuk Rohana Yusof.
Beliau mengulas kenyataan Datuk Rohana yamg mengisytiharkan program malam ini sebagai haram.
“Ini bukan kali pertama TNC HEP UM mempamerkan sikap tersebut (mengharamkan program PMUM), maka kami pulangkan kepada TNC HEP UM untuk mengambil apa saja tindakan ke atas kami.
“TNC HEP UM boleh mengeluarkan seberapa banyak surat tunjuk sebab yang beliau inginkan. Beliau juga boleh mengenakan apa saja tindakan disiplin ke atas kami kerana beliau sememangnya mempunyai kuasa untuk berbuat demikian,” ujar Fahmi dalam sidang media yang sama.
Beliau turut menegaskan bahawa kedatangan Anwar itu bukan dari kapasiti sebagai seorang pemimpin pembangkang tetapi sebagai Alumni UM.
PMUM selaku penganjur utama memberi jaminan program ini akan berlangsung secara aman kerana objektif asalnya untuk memberi ruang kepada DSAI untuk menjelaskan kepada masyarakat khusunya mahasiswa UM mengenai pertuduhan yang sedang dihadapi beliau, tambahnya.
“Kami percaya DSAI juga perlu diberi ruang untuk bersuara secara lansung kepada masyarakat,” katanya.
Menurut Fahmi lagi, tidak ada sebab program itu dianggap sebagai satu ancaman kepada universiti.
Katanya, tuduhan yang mengatakan program itu akan mencemarkan nama UM kerana menjadikan UM medan politik murahan, tidak akan timbul sekiranya semua pihak mampu menghormati kebebasan akademik. -M'kini
Menjelang pidato Anwar, UM arah kakitangan pulang awal kerana gangguan elektrik
Menjelang program pidato Datuk Seri Anwar Ibrahim malam ini, Universiti Malaya (UM) membenarkan kakitangan mereka pulang awal dengan menjadikan gangguan elektrik sebagai alasan.
Dalam satu kiriman emel daripada pihak pentadbiran universiti, UM mengatakan semua kakitangan dibenarkan pulang pada pukul 4.00 petang.
"Adalah dimaklumkan keadaan cuaca buruk dan tidak menentu kebelakangan ini mengakibatkan beberapa insiden gangguan elektrik dan kerosakan pada pencawang elektrik universiti," kata pihak pentadbiran UM melalui emel kepada kakitangan yang tersebar di laman sosial Facebook.
"Keadaan ini merbahaya dan pihak universiti sedang menjalankan kerja-kerja baikpulih dan penyelenggaraan pencawang elektrik di beberapa lokasi utama di universiti.
"Sehubungan itu, bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku, pihak Pengurusan Universiti bersetuju supaya operasi pejabat di kampus Universiti Malaya, Kuala Lumpur ditutup awal pada 27 Oktober 2014 (Isnin), mulai jam 4.00 petang hari ini," kata kenyataan tersebut.
Bahagian Keselamatan UM hari ini membuat kawalan ketat kampus termasuk menutup beberapa pagar utama bagi menghalang kenderaan luar masuk, menyebabkan kesesakan di pintu masuk Kuala Lumpur dan Petaling Jaya.
Pengarah Keselamatan Yusof Harun dalam emel kepada kakitangan universiti berkata, pihaknya mendapat arahan pihak pengurusan universiti supaya hanya kenderaan yang berpelekat UM sahaja dibenarkan masuk kawasan kampus hari ini.
Walaupun tidak dinyatakan secara spesifik, sekatan kenderaan luar masuk ke UM dipercayai untuk menghalang program "40 Tahun: Dari Universiti Malaya ke Penjara" anjuran Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) yang mengundang Anwar untuk memberikan ucapan.
Tinjauan The Malaysian Insider pagi ini mendapati sekatan dilakukan Bahagian Keselamatan UM menyebabkan kesesakan di pintu masuk Kuala Lumpur dan Petaling Jaya.
Bagaimanapun, PMUM berkeras akan meneruskan program bersama ketua umum PKR itu seperti dirancang malam ini.
Presiden PMUM Fahmi Zainol (gambar, kedua dari kiri) memberitahu sidang media hari ini, mereka akan meneruskan program itu walaupun mendapat tekanan dari pengurusan universiti.
"Program itu menerima banyak sokongan dari pelbagai pertubuhan pelajar di Lembah Klang," Fahmi memberitahu pemberita di luar Dewan Tunku Canselor hari ini, lokasi program itu dijadualkan.
"Rakan pelajar dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Universiti Malaya Sabah semua menyatakan sokongan mereka terhadap program ini."
Fahmi berkata program malam ini yang dijadualkan bermula pukul 9 malam, juga merupakan mesej kepada rakan aktivis mahasiswa di seluruh negara supaya berani dan tidak gentar bertindak mengikut kepercayaan mereka.
Semalam Anwar bertegas beliau akan tetap menghadiri program di UM hari ini walaupun pihak pentadbiran universiti menghalangnya.
"Program di UM akan tetap dihadiri oleh DSAI (Datuk Seri Anwar Ibrahim)," kata pembantu Anwar, Dr Fahmi Ngah kepada The Malaysian Insider.
Mahkamah Persekutuan dijadualkan mendengar rayuan terakhir Anwar berkaitan kes Liwat II pada 28 dan 29 Oktober ini.
Pada 7 Mac, Mahkamah Rayuan membatalkan pembebasannya yang diputuskan Mahkamah Tinggi dua tahun lepas.
Mahkamah Rayuan mendapati Anwar bersalah meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan di sebuah unit kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara antara jam 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008.
Anwar dijatuhkan hukuman penjara 5 tahun tetapi dibenarkan penangguhan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan. –TMI
No comments:
Post a Comment