Khamis Mac 6, 2014
KUALA LUMPUR: Nasib Memorandum Persefahaman (MoU) perjanjian pengstrukturan semula air di Selangor dan Wilayah Persekutuan kini menjadi tanda tanya selepas pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat (PR) pada Rabu mengarahkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim tidak menandatangani sebarang perjanjian dengan kerajaan pusat tanpa kelulusan mereka.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Khalid perlu menjelaskan beberapa butiran perjanjian MoU serta mendengar pandangan-pandangan daripada Majlis Pimpinan PR sebelum menandatangani perjanjian tersebut.
"Kita minta Tan Sri Abdul Khalid lebih teliti terutama dalam kenyataannya tentang perjanjian yang bakal ditandatangani.
"(Khalid) Harus diberikan penjelasan yang lebih terperinci tentang kesan (perjanjian) kepada Selangor, soal tarif dan beberapa aspek perjanjian termasuk Langat 2 kepada pimpinan Pakatan Rakyat sebelum ditandatangani...kalau lepas tandatangan (penjelasan) tak ada makna dah," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan PR di Ibu Pejabat PAS Pusat di sini, Rabu.