SHAH ALAM - Persatuan Sejarah Malaysia tidak menolak kemungkinan wujud harta karun di Pulau Nangka, Melaka, seperti kenyataan Ketua Menterinya, Datuk Seri Idris Haron.
Pengerusinya, Datuk Omar Mohd Hashim berkata, jika wujud harta karun tersebut, ia boleh jadi milik lanun-lanun Eropah yang singgah di perairan Melaka.
Menurutnya, perkara seperti menyembunyikan harta adalah amalan lanun-lanun sahaja.
"Itu hanya kemungkinan sahaja. Ini kerana, tidak ada dalam amalan atau hikayat sewaktu Kesultanan Melayu dahulu kisah meninggalkan harta dengan menyembunyikannya.
"Sesiapa sahaja yang melarikan diri termasuk Sultan, mereka akan membawa bersama harta-harta milik mereka dan tidak akan meninggalkan di mana-mana dengan harapan akan berpatah balik untuk mengambil semula," katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Beliau berkata, perkara menyembunyikan harta boleh jadi dilakukan oleh mana-mana pihak.
"Kebarangkalian harta itu wujud ada, cuma saya tidak boleh kata, ia milik Sultan Mahmud Shah atau mana-mana Sultan.