28 September 2008

JANGAN BAZIR DUIT RAKYAT, IKUT CARA LGE: MOHD SABU

BUKIT KATIL - Naib Presiden Pas, Mohd Sabu menggesa pemimpin Pakatan Rakyat (PR) supaya menegakkan Islam dalam kerajaan PR yang bakal ditubuhkan kelak.

Menurutnya hanya Islam yang dapat menjamin keadilan dan kesaksamaan kepada rakyat tanpa mengira kaum, agama dan ideologi politik. “Jangan sekadar untuk menggantikan kerajaan yang akan diruntuhkan, cuma kerajaan yang bertukar tetapi dasar dan cara pentadbiran sama seperti kerajaan lama.

“Sejarah telah membuktikan bahawa hanya kerajaan yang adil, telus dan tidak membazir akan disokong dan diterima oleh rakyat,” katanya. Mohd Sabu berkata demikian ketika menyampaikan ceramah Badar Al-Qubra di dataran Pejabat Pas Kawasan Bukit Katil, semalam. Turut berceramah bersama Mohd Sabu ialah Pesuruhjaya Pas Melaka, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman dan rakan sejawatnya dari Negeri Sembilan, Zulkifly Mohamed Omar.

Menurutnya, dalam sejarah Islam pernah diceritakan bahawa satu demi satu negara kuasa besar jatuh ke tangan Islam tanpa pertumpahan darah semuanya kerana rakyat yakin akan keadilan dan kebenaran Islam.

“Pernah diceritakan bahawa ada orang yang mencari istana gabenor atau khalifah Islam tetapi mereka hampa kerana tidak menjumpainya kerana rumah pemimpin sama seperti rumah rakyat yang susah dan miskin. Fakta-fakta inilah sebenarnya menyebabkan rakyat menghormati pemimpin dan akhirnya berbodong-bondong menyokong kerajaan Islam dan bernaung di bawah kerajaan Islam,” katanya. Hari ini, katanya terdapat pemimpin-pemimpin seperti itu, antaranya Mahmoud Ahmedinejad, Hassan Nasrullah dan Tok Guru Nik Aziz dan Haji Hadi.

“Jika ramai pemimpin Islam seperti ini sudah tentu suatu hari ini orang bukan Islam juga selesa dan reda untuk bernaung di bawah kerajaan Islam,” katanya. Mohd Sabu juga memuji sikap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng jelas lebih berjimat cermat dalam membelanjakan wang rakyat.

“Dalam lawatan saya ke pejabatnya bersama Presiden Pas, Guan Eng membelanja kami dengan nasi lauk ikan yang kecil dan telur yang harganya tidak sampai RM10.

"Bila ditanya mengapa beliau berbuat demikian, Guan Eng menjawab beliau tidak mahu membazirkan wang rakyat. Inilah pemimpin yang perlu kita contohi tidak membazir dan sentiasa berhati-hati membelanjakan duit rakyat,” katanya. ... SINAR HARIAN

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive