21 October 2008

HARGA BAHAN BAKAR DAH TURUN, BARANGAN LAIN BILA LAGI? - malaysiakini

Oleh Melati Mohd Ariff
KUALA LUMPUR, (Bernama) -- Semakin lebar senyuman para pemandu di Malaysia apabila harga minyak diturunkan lagi 15 Okt lepas ekoran harga minyak di pasaran dunia jatuh di bawah paras AS80 setong baru-baru ini.Penurunan harga petrol dan diesel 10 sen hingga 20 sen itu adalah yang ketiga dibuat kerajaan dalam tempoh tiga bulan. Kerajaan sebelum ini membuat penurunan harga minyak pada 24 Sept (10 sen) dan 23 Ogos (8 sen hingga 22 sen).Harga pam petrol sekarang ialah RM2.30 seliter (RON97)dan RM2.20 (RON92) sementara diesel RM2.20 seliter.
Sudah tentu, ramai pengguna berharap penurunan tiga kali harga bahan bakar ini akan seiring dengan penurunan harga barang yang meningkat tinggi apabila kerajaan membuat kenaikan besar harga bahan bakar 4 Jun lepas.
JANGAN TUNGGU TINDAKAN
Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri meminta peniaga menurunkan segera harga barang tanpa perlu menunggu tindakan penguatkuasa selaras dengan langkah kerajaan menurunkan harga runcit petrol dan diesel.
Peniaga, katanya, perlu menjalankan tanggungjawab sosial mereka bagi meringankan beban rakyat dengan menurunkan segera harga barang.Keluhan pengguna mengenai harga tinggi barang ini telah berlarutan. Sepanjang Ramadan lepas, masalah harga masih ada, menyebabkan ramai yang menyambut 1 Syawal dengan ala kadar sahaja.
Habis hari raya, harga sayur dan ikan dilaporkan terus melambung terutama di luar bandar dan pekan kecil.Justeru, bagi kebanyakan pengguna tidak ada sebab untuk mereka bertepuk tangan dengan penurunan bahan bakar kali ini memandangkan mereka terus dihimpit kenaikan harga barang dan kos sara hidup.Yang lebih pesimis terus melabelkan keadaan semasa sebagai "nasi sudah menjadi bubur". Bagi mereka igauan ngeri kenaikan harga barang akan terus menjerut kehidupan mereka sehingga tahun baru 2009 dan entah sampai bila.
FAKTOR KENAIKAN
Namun sesetengah pihak berpendapat harga minyak bukan satu-satunya faktor kenaikan harga barang.Pada awal 2008, berlaku krisis makanan dunia yang melibatkan beberapa bahan mentah seperti gandum, gula, jagung, kacang soya dan beras.
"Oleh kerana sebahagian besar daripada bahan mentah untuk pengeluaran makanan di negara ini adalah bahan import, maka krisis dan kenaikan harga bahan mentah ini menjejaskan kos pengeluaran barang di negara ini."Sebab itu, sesetengah barang dinaikkan harganya sebelum harga minyak dinaikkan pada 4 Jun 2008 disebabkan oleh krisis bekalan bahan mentah ini," menurut Ketua Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman.
Mengenai kenaikan harga barang keperluan harian, beliau berkata berdasarkan pemerhatiannya, harga barang yang tidak telalu terikat dengan harga minyak ialah barang basah seperti ikan, daging, ayam dan sayuran."Selain faktor kos pengangkutan, kenaikan harga juga disebabkan oleh faktor bekalan dan musim. Oleh sebab itu, harga barang basah adakalanya turun naik."Begitu juga dengan makanan yang dimasak seperti nasi lemak, nasi campur, kuih-muih dan sebagainya. Apabila telah dinaikkan, ia tidak akan turun," katanya kepada Bernama.
HARGA MASIH TERKAWAL
Di pasar tani bagaimanapun harga barang dilapor terkawal.Ini kerana Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) memastikan semua peserta Pasar Tani menjual barang mereka mengikut panduan harga komoditi terpilih seperti ikan, ayam, sayur dan buah.
"Pihak Fama meletakkan panduan harga barang ini di kaunter urusetia sebagai panduan kepada pengguna dan peniaga Pasar Tani," kata Pengarah Kanan, Bahagian Pembangunan Usahawan dan Pemborongan Fama, Abdul Wahid Mat Razi.Beliau berkata semua peserta Pasar Tani diwajibkan meletak tanda harga semasa Pasar Tani beroperasi dan mereka tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Berniaga di Pasar Tani.Sehingga 30 Sept 2008, terdapat 294 Pasar Tani dan Pasar Tani Mega di seluruh negara. Nilai jualan dari Januari hingga September tahun ini ialah RM285.75 juta.
Senario harga mungkin berbeza di pasar-pasar basah yang bekalannya bergantung kepada pemborong.Bagaimanapun, Setiausaha Persatuan Pemborong Sayuran Kuala Lumpur, Low Teik Kim memberitahu Bernama, secara keseluruhannnya harga dan bekalan sayuran masih terkawal."Yang naik sedikit cuma timun, kacang panjang dan cili merah. Ini pun hanya berlaku pada penghujung minggu sebab ramai orang Islam membuat rumah terbuka," kata beliau ketika dihubungi.
Low berkata pihaknya terpaksa mengimport timun dari Thailand untuk mengimbangi bekalan sayur itu di pasaran dan supaya harganya tidak terlalu tinggi.Bagi cili merah, katanya harga naik sedikit kerana faktor cuaca dan bekalan yang terhad memandangkan pihaknya sudah menghentikan import cili dari China dan hanya bergantung kepada cili tempatan.Low menasihatkan pengguna supaya bijak berbelanja dengan membeli sayuran lain jika sayur yang mereka ingini harganya tinggi. "Kalau orang tak beli dengan sendirinya harga akan jatuh," katanya.
PERLU SELIA HARGA
Bagi pengilang, alasan yang sering digunakan untuk menaikkan harga barangan ialah kenaikan kos operasi kilang dan pengangkutan. Apabila harga barang dinaikkan, alamatnya sukar untuk diturunkan."Label yang telah diletakkan harga yang disyorkan adalah antara sebabnya. Pembekalan barangan berdasarkan harga kontrak dan kos pengangkutan ang dikontrakkan," kata Mohd Yusof.Beliau berkata keadaan itu berpunca daripada ketiadaan sistem kawal selia harga barang di negara ini.Peraturan kawal selia harga yang wujud pada masa ini hanya bagi barang yang dikawal oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna di bawah skim kawalan harga, Akta Kawalan Harga 1946 atau skim kawalan harga musim perayaan, jelasnya.
"Di bawah Akta Kawalan Harga, peniaga diwajibkan meletakkan tanda harga. Oleh itu juga, (jika) peniaga atau pengeluar meletakkan tanda harga, walaupun harganya tinggi, ia tidak menjadi satu kesalahan," tambahnya.
DESAKAN FOMCA
Fomca sudah sekian lama mendesak penubuhan Suruhanjaya Harga supaya ia dapat menjadi mekanisme dalam penentuan harga apabila mana-mana pihak meminta untuk menaikkan harga barang, termasuk kadar perkhidmatan seperti tambang bas dan sebagainya.Menurut Mohd Yusof, pihaknya juga sudah lama mendesak supaya kerajaan mewujudkan Akta Perdagangan Adil, bertujuan mengawal selia penentuan harga barang di pasaran.
Mekanisme harga, jelasnya, ditentukan berdasarkan margin keuntungan yang ditetapkan bagi sektor tertentu setelah mengambil kira keseluruhan kos operasi seperti bahan mentah, pengilangan, pengangkutan dan sebagainya.Kementerian itu pada masa ini, katanya, menggunakan kaedah perundingan dengan pengeluar bagi barang bukan kawalan agar harga barang tidak dinaikkan terlalu tinggi.
Dalam hal ini, kata Mohd Yusof, kerajaan perlu memberikan pelbagai insentif kepada pengeluar bagi memastikan kos operasi pengeluar berada pada tahap yang terkawal seimbang dengan penetapan harga barang mereka."Adakalanya perundingan ini berjaya dilaksanakan manakala dalam keadaan yang lain gagal. Seringkali juga harga barang dinaikkan tanpa disedari oleh pengguna dan kerajaan, khususnya barang bukan keperluan harian atau yang dibeli setahun sekali seperti perabot dan peralatan eletrik," kata Mohd Yusof yang menyifatkan penurunan harga petrol dan diesel yang dibuat kerajaan baru-baru ini masih kecil berbanding kenaikan 78 sen yang dibuat pada 4 Jun lalu.
PENGGUNA DIKELIRUKAN
Soal pengguna keliru atau dikelirukan dengan harga atau produk mungkin sudah lumrah. Dalam hal ini, Mohd Yusof berkata ia lazim berlaku apabila pengeluar membuat pembungkusan baru.Katanya, ia sering berlaku kepada barang dalam tin dan susu formula untuk bayi. Walaupun kuantitinya sama, tetapi harganya berbeza apabila diperkenalkan pek baru."Seringkali juga apabila pek baru diperkenalkan, pengeluar menyediakan hadiah tertentu. Harga pek baru dinaikkan. Pengguna dikelirukan dengan kenaikan harga kerana telah diberikan hadiah. Kemudiana hadiah ditiadakan tetapi harga produk tetap sama. Secara tidak langsung, pengguna telah dibiasakan dengan harga yang baru ini," jelas beliau.
KELUHAN IKS
Kegawatan ekonomi semasa serta kenaikan harga bahan mentah turut memberi impak besar kepada pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS).Menurut Timbalan Presiden Persatuan Pengilang & Industri Perkhidmatan Bumiputra Malaysia, Mej (B) Abdul Rahman Ibrahim, rata-rata pengusaha IKS masih berhadapan dengan harga bahan mentah yang tidak menentu.
Keadaan itu, katanya menyukarkan kedudukan perusahaan usahawan IKS."Keadaan bekalan bahan mentah tak menentu. Harga boleh berubah dalam sekelip mata. Susah untuk pengilang menetapkan harga. Keadaan menjadi lebih buruk apabila syarikat besar tidak berminat untuk membantu syarikat kecil."Ada juga yang tidak mahu mengambil risiko dan sesetengahnya tidak komited untuk memastikan bekalan bahan mentah yang konsisten kerana mereka tidak mendapat pulangan yang tinggi," jelasnya kepada Bernama baru-baru ini.
Abdul Rahman berkata dalam keadaan sekarang kerajaan perlu mewujudkan semula Tabung Pemulihan Usahawan (TPU) yang pernah ditubuhkan bagi membantu usahawan Bumiputera apabila negara dilanda kegawatan ekonomi pada 1987.Beliau turut menggesa kerajaan supaya melipatgandakan usaha untuk mencari jalan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi oleh rakyat yang menanggung kenaikan kos sara hidup dan harga barang."Di Amerika Syarikat, pihak Kongres bermesyuarat secara maraton dengan menggabungkan pakar dan bijak pandai untuk menyelesaikan krisis kewangan yang melanda ekonomi negara itu," kata Abdul Rahman.-- BERNAMA

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive