PETALING JAYA: Pengguna berpeluang untuk merasai penurunan harga minyak buat kali keempat dalam tiga bulan menjelang hujung minggu depan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, kerajaan mungkin mengumumkan sekali lagi harga baru petrol dan diesel pada 30 Oktober atau 1 November ini, berikutan trend penurunan harga minyak dunia ketika ini.
Harga minyak di pam turun tiga kali sejak Ogos lepas iaitu pada 23 Ogos, 24 September dan kali terakhir 15 Okt.
Harga petrol Ron97 turun dari RM2.70 seliter kepada RM2.55, RM2.45 dan RM2.30 manakala petrol Ron92 dari RM2.62 seliter kepada RM2.40, RM2.30 dan RM2.20.
Diesel pula turun dari RM2.58 seliter kepada RM2.50, RM2.40 dan RM2.20.
Shahrir berkata berikutan penurunan berterusan harga minyak itu, beberapa syarikat pasar raya dan pasar raya besar bersetuju untuk menyemak harga produk yang dijual di premis masing-masing.
"Minggu depan beberapa syarikat pasar raya akan bersama-sama kementerian mengumumkan penurunan harga di pasar raya mereka," katanya yang tidak menyebut nama syarikat yang terbabit dan tarikh sebenar pengumuman itu di sini semalam.
Beliau turut mengumumkan penurunan harga tepung yang diperkaya sebanyak 12 sen sekilogram berkuat kuasa sejak Ogos lepas.
"Penurunan itu adalah inisiatif industri pengeluar tepung itu sendiri bagi menyahut seruan kerajaan yang menggalakkan syarikat pengeluar makanan menurunkan harga mereka," katanya.
Terdahulu, Shahrir turut menghadiri majlis pengumuman penurunan harga susu tepung jenama Nugrow sebanyak 15 peratus berkuat kuasa 1 November ini.
Sementara itu, Shahrir berkata pemberian rebat tunai bahan api yang dinikmati pemilik kenderaan ketika ini akan dikaji semula April depan berikutan banyak maklum balas negatif yang diterima daripada pengguna.
"Saya terima banyak maklum balas pengguna yang tak suka sistem rebet, jadi ia akan dikaji semula untuk mencari mekanisme terbaik pengagihan subsidi minyak kepada pengguna kenderaan," katanya.
Subsidi tunai RM625 diberi kepada pemilik kenderaan sehingga 2,000cc serta trak pikap dan jip sehingga 2,500cc; dan RM150 kepada pemilik motosikal berkapasiti enjin sehingga 250cc yang memperharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) dari tarikh 1 April 2008 hingga 31 Mac 2009.
Dalam pada itu, beliau berkata, Indeks Harga Pengguna (IHP) negara yang mengukur kadar inflasi mencatat penurunan ke paras 8.2 peratus pada September lepas berbanding 8.5 peratus pada bulan sebelumnya.
Penurunan itu berikutan penurunan harga minyak yang diumum kerajaan barubaru ini.
"Saya percaya trend ini akan berterusan yang menandakan pada bulanbulan akan datang inflasi atau kenaikan harga barang tidak akan menjadi masalah kepada negara.
"Kita akan pula menghadapi pertumbuhan ekonomi dan peningkatan pendapatan negara," katanya.
sumber: mStar
1 comment:
This man said petrol will be at RM1.90 a litre if world oil price drops to USD72 a barrel. Now it averages USD65 a barrel. So are we going to get RM1.80 a litre of petrol?
Also, what about the RM625 rebate? It is supposed to be as long as petrol is at market price less RM0.30 a litre. The govt still do not want to admit it screwed up big time when petrol price was increased by RM0.78 sen in June. And still govt still have to pay RM625 out.
Despite decrease in oil price, just go out and ask if prices of goods and services has dropped? The govt only scolded consumer organizations and advise people to punish errant traders. But did the govt seeks the people's view when implement drastic oil price increases and new policies?
Had the govt just listened to the people, BN would have control over the 4 states that they lost in GE12.
Post a Comment