Barisan Bertindak Hak Hindu (Hindraf) mahu menyaman Utusan Malaysia sebanyak RM1 juta berhubung laporan dan komentar mengenai badan tersebut yang disiarkan akhbar itu semalam. Penyelaras pusatnya, RS Thanenthiran berkata, pihaknya sedang berbincang dengan peguamnya mengenai perkara itu dan akan memfailkan tersebut tidak lama lagi.
Menurutnya, Hindraf terganggu dengan laporan Utusan yang didakwanya penuh dengan pembohongan dan fakta yang diputarbelit mengenai kehadiran badan tersebut di majlis rumah terbuka hari raya perdana menteri di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Rabu lalu.
Beliau mendakwa, laporan muka depan Utusan di bawah tajuk - Hindraf Keterlaluan - adalah tidak adil dan bersifat perkauman, dan seperti menyarankan bahawa Hindraf dianggotai oleh pelampau yang mahu mengganggu perayaan orang Islam dan mencemuh Islam.
Thanenthiran juga mengecam komentar tulisan Baharom Mahusin dalam kolum 'Cetusan' dalam edisi yang sama.Beliau mendakwa, penulis bersikap tidak adil dalam kritikannya, yang didakwa Thanenthiran mahu mengapi-apikan kebencian kaum dan konflik kaum.
Hindraf, katanya, amat tersinggung dengan komentar Baharum yang menyatakan "Kalau penyokong Hindraf melakukan penghinaan seumpama itu di kawasan-kawasan pendalaman yang menjadi kampung halaman orang Melayu, mereka sudah pun diajar tentang makna dan akibat berperangai kurang ajar". ... MALAYSIAKINI
No comments:
Post a Comment