KOTA BAHARU, 29 Okt (Bernama) -- Kerajaan Kelantan menafikan dakwaan wakil Barisan Nasional (BN) bahawa program Ladang Rakyat telah melibatkan penggunaan hutan simpan yang hasil balaknya sebelum itu digunakan bagi tujuan membayar dividen kepada lebih 4,000 pesertanya.Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata sebaliknya penggunaan ladang itu membabitkan kawasan tanah kerajaan yang lain dan dividen itu diberikan melalui bayaran tahunan syarikat swasta yang terbabit mengusahakan kawasan ladang itu.
"Ini tidak benar sama sekali program Ladang Rakyat ini telah melibatkan kawasan hutan simpan dan hasil balaknya kini gunakan untuk membayar dividen. Ini tidak benar," katanya ketika menggulung perbahasan Enakmen Perbekalan 2009 (Bajet 2009) kerajaan negeri di Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, Rabu.
Isu Ladang Rakyat itu ditimbulkan timbalan ketua pembangkang, Datuk Noor Zahidi Omar (BN-Pengkalan Kubor) yang sangsi dengan program itu dan mendakwa ladang itu telah membabitkan kawasan hutan simpan.Ahmad (PAS-Pasir Pekan) juga menafikan hasil balak ladang itu seperti yang didakwa Noor Zahidi perlu dimasukkan ke dalam akaun wang yang disatukan.
"Sebaliknya wang tahunan itu tidak boleh dimasukkan ke dalam akaun wang yang disatukan kerana ia merupakan entiti program yang berbeza sama sekali. Keputusan mengasingkannya adalah pandangan audit," katanya.
Lebih 4,000 peserta Ladang Rakyat itu menerima dividen bulanan sebanyak RM200 seorang.Sementara itu Ahmad berkata hasil penambahan pegawai dan kakitangan di Pejabat Tanah dan Jajahan sejak tahun lalu dan tahun ini, kerajaan negeri telah berjaya menyelesaikan banyak tunggakan permohonan tanah.
"Tambahan pegawai dan kakitangan ini disebabkan pengstrukturan semula pengurusan pejabat tanah di seluruh negara bagi mengurangkan tunggakan permohonan yang begitu tinggi," katanya.
Menurutnya kerajaan negeri telah berjaya memungut hasil tanah melebihi RM20 juta sepanjang tahun ini berbanding lebih RM13 juta pada tahun sebelumnya.Dewan kemudiannya meluluskan Enakmen Perbekalan 2009 (Bajet 2009) dan persidangan ditangguhkan kepada satu tarikh lain.-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment