18 October 2008

MUHYIDDIN TERUS MENEKAN PAK LAH - Malaysiakini

OLEH: Zulkifli Sulong
OKT 17 — Nampaknya Tan Sri Muhyiddin Yassin masih tidak berpuashati dengan apa yang dilakukannya terhadap Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Selepas berjaya mempercepatkan persaraan Abdullah dari Jun 2010 ke Mac 2009, kini Muhyiddin mahu ia dipendekkan lagi.

Tempoh kempen selama empat bulan untuk pemilihan Umno adalah terlalu lama dan ia boleh menjejaskan produktiviti calon terutama yang mempunyai portfolio dalam kerajaan, kata Muhyiddin, Naib Presiden Umno.

“Saya berkata demikian kerana ramai yang lain turut berkongsi kebimbangan yang sama kerana mungkin akan wujud isu politik wang dan merugikan daripada segi tenaga dan sumber dana," katanya semasa ditanya tempoh kempen yang lama bagi pemilihan Umno Mac depan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan persidangan serantau, Eisenhower Fellowships di sini semalam sebagaimana yang dilaporkan Bernama.

Sebelum ini, ramai yang maklum, Muhyiddin mengetuai tekanan terhadap Abdullah melalui satu kenyataannya di Singapura yang meminta Abdullah mempercepatkan tempoh peralihan kuasa.
Abdullah, sebagai yang dilaporkan media sangat marah dengan kenyataan Muhyiddin itu. Ia dikesali Abdullah kerana kenyataan sebegitu lahir dari anggota kebinet beliau yang sebelumnya telah memberikan persetujuan bersama terhadap peralihan kuasa itu.

Muhyiddin tidak berhenti walaupun mendapat kenyataan amaran dari Abdullah. Ia pergi lebih jauh lagi. Dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno, Muhyiddin mengetuai tiga lagi anggota MT menyerang Abdullah. Ekoran itu, satu tarikh baru perlihan kuasa dipersetujui oleh MT Umno iaitu Mac 2009. Untuk itu, Abdullah mengumumkan dia tidak akan bertanding jawatan presiden Umno walaupun dipujuk dan dirayu oleh para penyokong beliau bahawa dia mempunyai peluang untuk mendapat pencalonan yang cukup dan seterusnya berpeluang untuk menang jawatan presiden Umno itu.

Dalam tulisan yang lalu, saya menulis, sikap Abdullah untuk tidak melawan kerana tidak mahu pecahkan Umno ini adalah sikap "lelaki Melayu terakhir dalam Umno". Mana ada lagi para pemimpin Umno bersikap sebegitu. Dunia sudah berubah, zaman sudah maju, kata iklan dalam TV.
Ramai yang tertanya-tanya sebenarnya, kenapa begitu benci sekali Muhyiddin kepada Abdullah. Padahal apa salahnya dia tunggu beberapa bulan sahaja lagi untuk menjawab jawatan timbalan perdana menteri itu. Apabila Najib dilantik sebagai perdana Menteri, dialah yang akan menjadi timbalan perdana menteri. Bukan ada calon lain lagi yang lebih layak dari beliau.

Berdasarkan pandangan Muhyiddin, "Terdapat kebimbangan di kalangan calon-calon yang bertanding jawatan kerana buat pertama kali tempohnya adalah yang paling lama. Tidak pernah berlaku sebelum ini tempoh berkempen selama empat bulan, kerana kita mahu memenuhi pelan peralihan kuasa."

Sebagaimana tokoh-tokoh politik matang yang lain, apabila bercakap dia tidak akan menjelaskan sangat pandangannya. Dia akan berkias dan meletakkan keputusan di tangan pihak lain.
Padahal, jika Muhyiddin tidak membuat kenyataan di Singapura dahulu, pemimpin Umno yang lain tidak akan bercakap menekan Abdullah agar bersara lebih awal.

Kali ini, Muhyiddin berkata, "Saya serahkan keputusan bilakah masa yang sesuai, saya serahkan kepada Perdaa Menteri dan Timbalan Perdana Menteri."

Padahal kenyataanya jelas, beliau menekan Abdullah agar berhenti lebih awal. Tidak perlu tunggu hingga Mac 2009. "Sebulan sudah cukup masa berkempen," dijadikan sandaran oleh Muhyiddin secepat manakah masa yang dikehendaki oleh beliau untuk Abdullah turun.

Ramai yang melihat sekarang dengan penuh bimbang, sempatkah Najib menjadi perdana menteri Mac nanti dengan satu demi satu kontroversi yang ditimbulkan oleh beliau. Jika Najib tidak boleh menjadi perdana menteri, bagaimana dengan nasib Muhyiddin untuk menjadi timbalan beliau.

Ketika memberikan ucapan lebih lima jam bagi membahaskan Bajet 2009 di Dewan Rakyat Isnin dan Selasa lepas, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggariskan tiga kontroversi baru yang dibuat Najib sebagai tambahan kepada pelbagai jenis kontroversi yang dibuat beliau sebelum ini.

Antaranya penganugerahan projek jalur lebar (high speed broadband) bernilai RM11.31 bilion kepada Telekom Malaysia. Ia dibuat tanpa proses tender terbuka dan ditandatangani pada 16 September lalu.

Projek mega kedua yang dijalankan oleh Menteri Kewangan baru adalah pembelian Bank International Indonesia (BII) yang dibuat dengan penuh skandal, kata Anwar. Pembelian BII dibuat dengan 4.2 kali nilai sebenar BII sekarang.

Anwar juga mempertikaikan pembelian 12 helikopter baru dari syarikat Eurocopter dengan menolak tawaran dari syarikat-syarikat lain tanpa alasan yang kukuh.

Ekoran dakwaan ini, PM Abdullah dikatakan akan menyemak perkara ini dengan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan mengenainya.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Parlimen (PAC), Datuk Azmi Khalid mengumumkan beliau akan memanggil pihak-pihak yang terbabit mengenainya untuk mendapatkan penjelasan.
Ekoran dari kontroversi ini, seorang pembaca sebuah laman web memperkenalkan ketiga-tiga pemimpin penting sekarang sebagaimana berikut.

"Tun Dr Mahathir Bapa Projek Mega, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi Bapa Koridor manakala Datuk Seri Najib adalah Bapa Kontroversi".

Inilah hambatan yang dihadapi Muhyiddin dalam mengejar cita-citanya. Muhyiddin tahu, sehingga kini beliau masih dilihat bersih dari sebarang kontroversi. Satu-satu kontroversi yang beliau buat adalah “menekan dan terus menekan” agar Abdullah cepat bersara.

Apakah sebenarnya rancangan Muhyiddin? Sehingga kini, tidak ramai dapat melihat dengan jelas melainkan beliau mahu cepat naik menduduki kerusi nombor dua kerajaan dan Umno dan seterusnya ke kerusi nombor satu. Sedarkah Najib dan terus pasrahkah Abdullah? -- MI

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive