22 October 2008

PENAHANAN RAJA PETRA BERNIAT JAHAT - PEGUAM - malaysiakini

Penahanan Raja Petra Berniat Jahat, Kata PeguamSHAH ALAM, 22 Okt (Bernama) -- Seorang peguam yang mewakili tahanan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) Raja Petra Kamaruddin memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini perintah penahanan anak guamnya di bawah Seksyen 8 Akta berkenaan dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri adalah berniat jahat.
Azhar Azizan Harun berkata terdapat andaian ketara bahawa penahanan itu bukan didorong oleh keprihatinan tentang keselamatan negara tetapi hasrat untuk menyenyapkan pengkritik lantang dan berpengaruh terhadap kerajaan serta parti-parti politik dan individu dalam kerajaan."Pemohon pada ketika tertentu mengkritik antara lain, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan responden (Menteri Dalam Negeri). Ini menjejas kepentingan politik Umno dan Barisan Nasional (BN) sebagaimana dapat dilihat pada anjakan sokongan pengundi," kata beliau.
Beliau juga berkata Raja Petra tidak pernah diberitahu tentang sebab penangkapan atau penahanannya kecuali satu dokumen yang beliau diminta tandatangani di balai polis Jalan Travers pada 12 Sept, yang hanya menyatakan beliau telah menghina Islam dan beliau merupakan ancaman kepada keselamatan negara."Di bawah Seksyen 8(1) ISA, responden mesti berpuashati bahawa penahanannya perlu bagi menyekat tahanan dari bertindak dalam apa cara yang membahayakan keselamatan Malaysia. Oleh itu responden mesti melihat pada semua fakta dan persekitaran hingga berpendapat pemohon adalah satu ancaman kepada keselamatan negara sebelum ia berpuashati bahawa penahanan pemohon adalah perlu bagi menyekat beliau dari bertindak dalam apa cara yang membahayakan keselamatan Malaysia.
"Pemohon juga tidak bersalah dengan mana-mana jenayah; beliau didakwa dengan pelbagai kesalahan dan perbicaraan masih tergantung. Oleh kerana tidak ada tindakan yang dikatakan dilakukan pada masa depan yang boleh membahayakan keselamatan Malaysia, perintah Seksyen 8 adalah jelas pelaksanaan kuasa yang bersifat berniat jahat," kata beliau.
Malik Imtiaz Sarwar yang turut mewakili Raja Petra, berkata jika satu daripada asas penahanan kerana beliau telah dengan sengaja dan cuai menerbitkan artikel di Malaysia Today yang menghina Muslim, mengapa ia tidak didakwa dengan kesalahan menghina Islam oleh pihak berkuasa agama.
Beliau berkata tidak ada "fatwa" yang pemohon telah menghina Islam atau telah bertindak dalam cara bertentangan dengan prinsip Islam."Soal sama ada pemohon telah menghina Islam merupakan perkara di dalam bidang kuasa eksklusif pihak berkuasa agama Selangor.
Responden tidak boleh mengambil alih tugas itu. Walaupun responden mempunyai kuasa dalam hal keselamatan di bawah ISA, autoriti ini tidak memberi kuasa kepada responden menentukan isu-isu berkaitan Islam."Adalah perlu bagi responden mendapatkan pengesahan dari pihak berkuasa agama negeri atau mahkamah syariah negeri bahawa tindakan yang diadukan itu satu penghinaan kepada Islam atau jika tidak, ia melanggar Islam sebelum ia boleh mengambil langkah di bawah ISA. Atas alasan ini saja, penahanan itu perlu diisytiharkan tidak sah," kata beliau.
Raja Petra memohon writ habeas corpus bagi mendapatkan pembebasan dirinya dari tahanan di bawah ISA atas alasan penahanannya adalah tidak sah dan tidak berperlembagaan. Beliau menamakan menteri Datuk Seri Syed Hamid Albar, sebagai responden.Isteri Raja Petra, Mable @ Marina Lee, dan dua orang anak perempuan mereka -- Sarah, 19, dan Suraya, 34, -- dan beberapa orang penyokong kelihatan berada di mahkamah.
Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan Abdul Wahab Mohamad berhujah bahawa penahanan itu dibuat di bawah Seksyen 8 Akta berkenaan adalah sah dan mengikut undang-undang.
Hakim Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad menetapkan 7 Nov untuk keputusan mengenai permohonan habeas corpus itu.-- BERNAMA

1 comment:

Anonymous said...

Raja Petra Kamaruddin has to be DETAINED at all cost ...

otherwise, Malaysia-Today may publish articles critical of TPM about to become PM and the Altantuya's case. Bala's missing in action, Mynmar's doctor case, AG, IGP and the Shafee lawyer ...

and the list may go on , helicopter, Ketua Hakim everything lah ...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive