10 November 2008

BALA, RPK BAKAL SAKSI, KES ALTANTUYA DITUNDA JANUARI - malaysiakini

SHAH ALAM: Kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu yang dijadual disambung hari ini telah ditunda sehingga Januari depan bagi membolehkan pasukan peguam bela mempunyai masa yang mencukupi untuk membuat persediaan dan mendapatkan saksi.
Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Zaki Md. Yasin menetapkan tarikh perbicaraan baruiaitu mulai 15 Januari depan.
Antara saksi yang diperlukan pasukan pembelaan ialah pengendali Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamarudin dan penyiasat persendirian, P. Balasubramaniam yang "masih hilang dan misteri" sejak tiga bulan lalu.
Dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Bukit Aman, Cif Inspektor Azilah Hadri, 32, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 36, dijadual memberikan keterangan untuk membela diri masing-masing atas tuduhan membunuh Altantuya.
Azilah dijadual mula memberikan keterangan secara bersumpah di kotak saksi di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Mohd. Zaki Md. Yasin.
Ia akan disusuli oleh Sirul Azhar.
Peguam Sirul, Kamarul Hisham memberitahu mahkamah bahawa tiada maklum balas diterima daripada peguam-peguam Raja Petra meskipun banyak panggilan dibuat dan mesej dihantar kepada mereka.
Kata beliau, pihaknya mahu memanggil Raja Petra dan Balasubramaniam berhubung akuan berkanun yang ditandatangani kedua-dua mereka dan diposkan menerusi Malaysia Today.
Dalam pada itu, peguam Azilah, Datuk Hazman Ahmad berkata, pihaknya memerlukan lebih banyak masa untuk bersiap sedia memandangkan kes-kes tertunda yang perlu diselesaikan.
Kemudian beliau memberitah pemberita bahawa pihaknya akan memohon pembelaan alibi bagi anak guamannya dan tidak memerlukan Raja Petra ataupun Balasubramaniam sebagai saksi.
Azilah dan Sirul Azhar dituduh membunuh Altantuya di antara Lot 12843 dan Lot 16735 Mukim Bukit Raja dekat sini antara pukul 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Azilah dari Unit Selam Tempur mula berkhidmat dalam UTK sejak 8 Januari 2003. Dia juga mempunyai kepakaran dalam body-guarding atau teknik mengawal orang kenamaan penting sama ada secara berjalan kaki mahupun berkenderaan.
Dia yang masih bujang diwakili Hazman dan J. Kuldeep Kumar.
Sirul Azhar yang mula berkhidmat dengan UTK sejak 23 Januari 1996 pula bertugas dalam Unit Komunikasi.
Dia kemudian bertugas mengiringi orang kenamaan penting di luar negara.
Duda anak dua itu yang diwakili tiga peguam bela, Kamarul, Hasnal Redzua Merican dan Ahmad Zaidi Zainal.
Pada 31 Oktober lalu, hakim merintahkan penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda, tertuduh ketiga, dibebaskan tanpa perlu membela diri setelah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen penting dalam pertuduhan bersubahat. -- mStar

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive