PETALING JAYA Mahkamah Sesyen di sini hari ini menolak permohonan pendakwa raya untuk meminda tuduhan hasutan yang dikenakan ke atas pengendali Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamarudin.
Pendakwa raya memohon untuk memasukakn alamat laman web dan tajuk artikel yang didakwa berunsur hasutan dalam lampiran tuduhan yang dikenakan.
Hakim menolak permohonan selepas pasukan pembela membantah.
Pada 10 Oktober lalu, pihak pendakwaan memohon masa untuk mengkaji semula kertas pertuduhan terhadap Raja Petra yang dituduh menerbitkan artikel menghasut dalam sebuah laman web pada perbicaraan hari keempat kes itu.
Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd Yusof membuat permohonan itu ekoran pertikaian berhubung lampiran yang didakwa oleh pihak pembelaan sebagai tidak asli.
Peguam Gobind Singh Deo membangkitkan perkara itu dengan menyatakan, lampiran 'A' yang disertakan bersama-sama dengan kertas pertuduhan adalah tidak sama dengan artikel asli yang diterbitkan oleh anak guamnya pada 25 April lalu.
Selain tidak mempunyai judul "Let's Send The Altantuya Murderes to Hell", isi kandungan lampiran itu didakwa pembelaan telah ditaip semula dan gambar Raja Petra dilampiran juga didakwa adalah hasil salinan semula ("cut and paste").
Sehubungan dengan pertikaian itu, Ishak memohon pihaknya diberi masa untuk meneliti dan mempertimbangkan semula kertas pertuduhan.
Terdahulu, pertuduhan ke atas Raja Petra menyebut, penulis blog itu didakwa telah menerbitkan satu penerbitan menghasut di laman web Malaysia Today yang mempunyai alamat web http://www.malaysia-today.net iaitu satu artikel bertajuk "Let's Send The Altantuya Murderes to Hell" seperti di Lampiran'.'A" yang mengandungi ayat-ayat menghasut seperti yang digariskan.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu pada 25 April lalu dalam sebuah rumah di alamat No; 5, Jalan BRP 5/5, Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh.
Kesalahan didakwa di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum bawah Seksyen 4 (1) akta itu di mana hukuman memperuntukkan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya. Raja Petra, 58, dibicarakan selepas mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan itu.
Pada Jumaat lalu, Raja Petra, 58, telah dibebaskan daripada tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Alasan penahanan Raja Petra di bawah ISA antara lain menyebut, beliau sejak 16 Januari lepas sehingga ditangkap pada 12 September lepas melalui Malaysia Today yang dimiliki dan dikendalikan beliau telah bertindak secara sedar, sengaja dan tidak bertanggungjawab menyiarkan artikelartikel tulisannya dan komen pembaca yang mempersenda dan menghina orang Islam, kesucian agama Islam serta peribadi Nabi Muhammmad s.a.w yang telah membangkitkan kegelisahan dan kemarahan masyarakat Islam di negara ini. -- mStar
No comments:
Post a Comment