14 November 2008

Retreat Langkawi: Bukan Islam Boleh Sertai PAS - malaysiakini

NOV 14 — Selepas tiga hari berkampung di Langkawi 7 hingga 9 November lepas, pelbagai persepakatan penting dicapai oleh para pimpinan Pas. Yang paling besar adalah mereka bersepakat untuk membuka pintu parti Islam itu kepada bukan Islam untuk menyertainya.
Mengikut cadangan yang dikemukakan oleh Mujahid Yusof (anak bekas Mursyidul Am Pas), mereka akan menyertai Pas melalui satu dewan yang dikhaskan untuk mereka. Namun, hingga kini apa nama dewan itu belum lagi tetapkan. Yang pasti, mereka akan menjalankan aktiviti itu melalui dewan yang dikhaskan untuk mereka.
Dengan persetujuan ini bermakna, jalan sudah jelas kini bagaimana mereka boleh aktif dalam parti Islam selepas aktif dalam Kelab Penyokong Pas sebelum ini. Menurut Mujahid, Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Pas ini, hingga kini ada antara 15,000 ke 20,000 ahli kelab penyokong yang bertaburan di seluruh negara itu.
Jadi kerja yang menanti Mujahid selepas ini adalah mempersiapkan kertas untuk membolehkan dewan ini dilaksanakan termasuklah cadangan untuk menukar perlembagaan Pas yang selama ini hanya memperuntukkan orang Islam sahaja boleh menyertai parti itu.
"Jika tidak ada masalah, para muktamirin Pas akan membahaskan cadangan ini dalam muktamar Pas tahun depan. Jika diluluskan selepas itu, kita akan hantar perubahan kepada Pendaftar Pertubuhan dan selepas diluluskan, orang bukan Islam akan boleh mula menjadi ahli dan seterusnya aktif dalam Pas secara sah," kata Mujahid.
Apa kepentingannya menjadi ahli Pas secara sah ini?
"Apabila menjadi ahli, kita berharap mereka boleh bertanding atas tiket Pas, boleh dilantik menjadi senator, ahli majlis kerajaan tempatan dan lain-lain jawatan politik bagi pihak Pas," kata Mujahid lagi.
Sehingga ini, Pas ada Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat. Selepas ini akan ada dewan yang dikhaskan untuk ahli yang bukan Islam ini. Persoalan kini adalah sejauh mana ahli yang tidak beragama Islam ini boleh aktif dalam Pas.
"Buat permulaan, kita cadangkan mereka hanya boleh aktif dalam dewan ini sahaja. Kedudukan pemimpin mereka kita belum tentukan lagi sejauh dia akan terlibat dalam hiraki parti," beritahu Mujahid.
Mengikut yang ada sekarang, ketua dewan dalam Pas adalah setaraf dengan naib presiden Pas.
Mereka adalah anggota Dewan Harian Pas, badan tertinggi dalam parti itu yang menentukan perjalanan pentadbiran harian Pas. Selama ini Dewan Harian ini disertai oleh presiden, timbalan presiden, naib-naib presiden, ketua-ketua dewan, setiausaha agung, bendahari, ketua penerangan dan ketua pengarah pilihan raya Pas. Apakah ketua dewan untuk bukan Islam ini juga akan berada dalam Dewan Harian ini, ia belum pasti lagi.
Sejak idea orang bukan Islam menyertai Pas, isu kedudukan keahlian mereka sering sahaja diperdebatkan. Apakah mereka mempunyai hak sebagai ahli penuh atau tidak. Akhbar politik Siasah pernah menyiarkan kenyataan seorang bekas calon Pas Dun Lendu, Melaka Mac lalu, Datuk Amir Yaakub mengenainya. Beliau mengugut akan keluar Pas jika kedudukan keahlian orang bukan Islam ini setaraf sahaja dengan beliau sebagai ahli kepada Pas dalam keadaan Pas adalah parti Islam. Namun, jika ada perbezaan, Datuk Amir tidak ada masalah. Maksudnya, ahli baru Pas ini tidaklah boleh sehingga dilantik sebagai presiden Pas misalnya.
Bagi Mujahid, perkara ini tidak patut berbangkit. Beliau juga berkata, tidak berbangkit juga soal mereka ahli kelas dua Pas. Apa yang patut dilihat, kata Mujahid adalah, apa yang akan berlaku ini adalah satu pencapaian besar PAS dalam hubungannya dengan orang bukan Islam di negara ini.
Sebagai Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Pas, Mujahid dilihat paling faham dengan isu perpaduan ini. Ia ditambah lagi apabila sejak kebelakangan ini para pemimpin Pas dituduh bersifat perkauman. Kalau Umno dituduh mahu memperjuangkan ketuanan Melayu, Pas pula dilihat mahu memperjuangkan ketuanan Melayu dan Islam.
Mujahid pula melihat dalam skop yang berbeza, ia soal perpaduan dan keadilan.
Memperjuangkan kepentingan bangsa sehingga menzalimi bangsa lain dilihat sebagai assobiyyah bagi Pas. Jadi, dalam konteks Islam sendiri soal perkauman adalah bukan isu. Ia sangat jelas.
Jadi, ketika latar belakang politik Malaysia diwarnai oleh perkaumanlah datangnya kertas cadangan dan seterusnya diluluskan oleh pimpinan Pas sendiri. Sebab itu, bagi Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, idea ini perlu dipercepatkan dan jangan tangguh-tangguh lagi. Pandangan ini beliau kemukakan semasa retreat Pas di Langkawi itu.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga mempunyai pandangan yang sama. "Sudah sampai masanya," kata beliau di retreat itu, menurut sumber saya.
Kini, politik Malaysia mempunyai satu lagi dimensi baru dengan penerimaan pimpinan Pas untuk menerima ahli bukan Islam. Kalau golongan majoriti Amerika menerima Barack Obama sebagai presiden mereka, Pas yang merupakan parti Islam menerima orang bukan Islam menyertai mereka.
Jika begitu, Umno sebagai parti yang masih menjadi parti dominen negara perlu berfikir kembali. Pendekatan politik perkaumannya perlu dihentikan dan dengarlah dunia sudah berubah, zaman sudah maju..takkan Umno mahu terus dengan pemikiran lama sebegitu. -- TMI

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive