Berkesempatan berada pada hari penamaan calun di Bukit Selambau nampaknya UMNO Merbok tidak bersungguh-sungguh bekerja dan membuat persediaan dari segi mengumpul jenterakerja pilihanraya mereka.
Beberapa kumpulan UMNO Bahagian Merbok sendiri tersasar dari laluan perjalanan ke tempat penamaan calun dan terpisah dari kumpulan mereka. Mereka seolah-olah bercempera, terpinga-pinga dan terkebil-kebil apa yang harus dilakukan dan apa yang tidak perlu dilakukan. Apa sudah terjadi? ”This is the tips of the iceberg”.
Penyokong Pakatan Rakyat (Pas, PKR, DAP) berada awal dilokasi dengan anggaran 9,000 -10,000 orang, manakala penyokong BN hanya lebih kurang 3,000 – 4,000 orang sahaja. Ini pun terdiri dari mereka yang datang dari luar kawasan. Jika dihitung penyokong BN yang datang dari dalam kawasan mengundi khasnya di dalam Parlimen Merbok ini bermakna ianya tidak sampai pun 800-1000 orang.
Jika data asas ini diambil perkiraan nampaknya ada kedinginan dari segi sokongan dan pengurusan gerakkerja BN Parlimen Merbok khasnya UMNO Merbok di dalam usaha memenangi calun BN di dalam PRK Bukit Selambau.
Perkara ini bukannya mustahil apabila diimbau kembali sejarah perangai UMNO Merbok di dalam setiap kali pilihanraya. Ianya seperti sudah lumrah kelakuan tidak senonoh mereka. Kerja-kerja sabotaj, protes dingin, poster calun BN dibuang ke dalam sungai dan poster ditampal dengan kepala calun ke bawah dilakukan apabila pucuk pimpinan atasan BN tidak meletak calun yang mereka lobi.
Seperkara lagi bukan perkara yang aneh kerja-kerja ini dilakukan oleh pemimpin yang sama yang sekarang telah berjaya mengetuai UMNO Bahagian Merbok. Malah menurut beberapa tokoh pemimpin vateran Merbok yang ditemui, inilah "branding" Tajul Urus Mat Zain kata mereka. Kata mereka "biasa......laaaaa".
Di sekitar tahun 1983-84 dahulu di awal kemasukan Tun Daim Zainudin ke bahagian Merbok perkara yang sama berlaku. Ketika itu Tajul Urus merupakan ketua pemuda UMNO bahagian. Beliau bersekongkol dengan mentornya allahyarham Dato’ Zainal Abidin Johari yang merupakan ketua UMNO Bahagian Merbok ketika itu.
Apabila Tun Mahathir membawa masuk Tun Daim bermula sebagai Senator ke Bahagian Merbok Tun Daim ditentang habis-habisan sehingga ada dewan yang sepatutnya Tun Daim bertemu pengundi ditutup mentah-mentah. Pejabat UMNO Bahagian dikunci dan jentera UMNO Bahagian dilumpuhkan sehingga Daim membawa jentera beliau sendiri dari Kuala Lumpur dan membuka bilik operasi pilihanrayanya sendiri kerana hilang kepercayaan dan keyakinan kepada jentera pilihanraya UMNO Merbok.
Begitu juga semasa kemasukan Datuk Zainudin Maidin pada pilihanraya 2004. Pemimpin yang sama pernah bertegang urat di dalam pejabat UMNO Bahagian Merbok, menentang kemasukan Datuk Zainudin Maidin ke kawasan Merbok. Kepimpinan MCA dan MIC diracuni supaya jangan menyokong Datuk Zainudin Maidin sebagai calun Parlimen Merbok.
Semasa pilihanraya 2004 apabila beliau dilantik sebagai Wakil Calun kepada Datuk Azmi Hamid, calun BN di DUN Tanjung Dawai beliau langsung tidak membantu Datuk Azmi Hamid sepanjang tempoh kempen pilihanraya tersebut. Menurut sumber beliau lebih menumpukan berkempen kepada rakan beliau Datuk Mahadzir Khalid di Pedu dan akan hanya sibuk apabila melibatkan peruntukan pilihanraya yang turun dari atas.
Hari ini kelaku yang sama dibuat oleh pemimpin yang sama. Muhyiddin Yassin pemimpin yang bertanggung jawab mengetuai jentera BN di dalam PRK ini seharusnya bijak meneliti watak-watak serta pelakon-pelakon di dalam UMNO Merbok ini.Perhatian yang serius harus diberi jika BN ingin beroleh kejayaan di dalam PRK Bukit Selambau demi mengembalikan maruah UMNO dan BN di bawah kepimpinan baru Najib dan Muhyiddin.
No comments:
Post a Comment