16 April 2009

TKM 1 Pulau Pinang. Betulkah DSAI Tertekan?

PULAU PINANG 15 April - Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng melanjutkan tempoh kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengemukakan calon untuk mengisi kekosongan jawatan Timbalan Ketua Menteri 1.
Guan Eng juga tidak menolak bahawa Anwar berada dalam keadaan tertekan untuk mengemukakan calon yang sesuai bagi menyandang jawatan paling kanan dalam pentadbiran kerajaan pakatan Pas-DAP-PKR itu.
"Saya tidak akan umumkan apa-apa hari ini, semuanya ada dalam satu kenyataan akhbar yang telah saya sediakan, minta maaf ...," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan peruntukan sebanyak RM1.5 juta kepada 28 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di sini hari ini.
Guan Eng memaklumkan mengenai tempoh lanjutan itu kepada media dalam kenyataan Ketua Menteri itu yang diedarkan kepada pemberita selepas majlis tersebut di sini hari ini.
Ketua Menteri itu kemudian bergegas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas bagi menghadiri majlis upacara angkat sumpah Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas di Istana Negara, Kuala Lumpur hari ini.
Sebelum itu, puluhan wartawan menunggu sidang media Guan Eng yang dikatakan akan membuat pengumuman mengenai Timbalan Ketua Menteri 1 yang dipilih bagi menggantikan penyandangnya iaitu Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Mohammad Fairus Khairuddin yang melepaskan jawatan tersebut pada 8 April lepas.
Guan Eng juga enggan menjawab pertanyaan pemberita berhubung tarikh baru bagi mengumumkan individu yang terpilih untuk mengisi kekosongan jawatan itu.
Beliau menegaskan kelewatan itu juga tidak bermakna bahawa Anwar tidak berusaha untuk menyelesaikan masalah berkenaan secepat mungkin.
Guan Eng berkata, antara soalan yang mungkin diasak kepada Anwar ketika ini ialah mengapa kekosongan itu tidak diisi oleh ADUN Sungai Bakap, Maktar Shafee kerana beliau antara calon PKR yang layak.
Selain itu, mungkin Anwar menghadapi kesukaran untuk memilih antara Maktar dengan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Abdul Malik Abdul Kassim dan kelewatan dikaitkan dengan strategi jika pilihan raya kecil DUN terbabit diadakan.
Guan Eng juga yakin bahawa Anwar mempunyai penjelasan tersendiri berhubung perkara tersebut selepas calon yang sesuai dilantik nanti.
Sementara itu, Abdul Malik yang juga Setiausaha PKR Negeri berkata, kelewatan Anwar mengemukakan nama bagi mengisi kekosongan jawatan Timbalan Ketua Menteri 1 tidak menjejaskan hubungan baik antara PKR dan DAP.
Beliau berkata, kedua-dua parti masih kukuh dan sentiasa bekerjasama berganding bahu mentadbir negeri ini.
Pemilihan individu untuk mengisi jawatan Timbalan Ketua Menteri 1, katanya, mestilah daripada PKR.
"PKR negeri telah membuat keputusan untuk serahkan kepada Anwar untuk buat pemilihan dan kita semua percaya dengan kewibawaan beliau," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat delegasi Wilayah Henan, China di sini hari ini.
Abdul Malik juga tidak menafikan bahawa Ketua Menteri mempunyai kuasa penuh bagi melantik timbalannya, bagaimanapun PKR juga mempunyai peluang untuk mengadakan perbincangan berhubung calon yang sesuai.
Mengulas kemungkinan berlaku krisis dalaman dalam PKR berhubung kelewatan itu beliau menegaskan bahawa tiada sebarang masalah yang berlaku dan parti itu tetap kukuh dan terus kukuh.
"Proses pemilihan adalah di tangan Anwar dan kami akan berikan keputusan yang benar-benar menepati kehendak rakyat," tambah beliau. - BERNAMA

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive