07 May 2009

7 Mei - PESTA IPOH - Kenyataan Akhbar YB Zul

KENYATAAN AKHBAR ZULKIFLI BIN NOORDIN
AHLI PARLIMEN KULIM BANDAR BHARU


Saya melihat dengan penuh kegusaran tragedi yang berlaku di sekitar sidang Dewan Undangan Negeri Perak Darul Ridzuan hari ini. Setakat masa saya menulis ini, berpuluh rakyat Malaysia pelbagai kaum telah ditangkap termasuk aktivis masyarakat, ahli-ahli Parlimen, ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri, pemimpin masyarakat dan ramai lagi yang didakwa kononnya melanggar perintah tidak berada dan/ atau berhimpun di sekitar kawasan yang diisytihar sebagai zon larangan oleh pihak Polis bersabit daripada sidang DUN Perak hari ini.

Lebih malang lagi apabila pihak polis memasukki sidang DUN dan secara paksa mengeluarkan YB Speaker DUN serta beberapa ADUN daripada Dewan Persidangan.

Dewan Undangan Negeri, sebagaimana Parlimen, adalah lambang sistem demokrasi berparlimen yang kita amalkan dimana wakil-wakil rakyat yang dipilih rakyat bersidang untuk mewakili suara dan aspirasi mereka.

Bersesuaian dengan itu, kita mengamalkan prinsip pemisahan kuasa di antara pihak perundangan, kehakiman dan eksekutif. Tiap masing-masing pihak tidak boleh mencampuri urusan pihak yang lagi satu sebagai menghormati hak ketuanan rakyat.

Kita dapat melihat ini dengan jelas semasa insiden YB Karpal Singh diserang di perkarangan Parlimen oleh beberapa orang pemuda UMNO di mana pihak polis enggan campurtangan dan akhirnya Dewan Rakyat melalui YB Tan Sri Speaker terpaksa mengambil tindakan sendiri bersesuaian dengan prinsip pemisahan kuasa tersebut.

Namun di dalam kes sidang DUN Perak hari ini saya melihat tindakan sebaliknya telah diambil oleh pihak polis, yang memberi persepsi seolah-olah pihak polis "going all out" mempertahankan Barisan Nasional dan menganaktirikan pihak Pakatan Rakyat; sehingga ketahap memaksa YB Speaker dan beberapa ADUN keluar daripada dalam Dewan. Kita khuatir rakyat akan melihat pihak polis yang sepatutnya bersikap professional dan tidak memihak tetapi kelihatan seperti pilih kasih dan mangamalkan sikap "double-standard".

Saya menuntut supaya pihak polis tidak mencampuri urusan Dewan Undangan Negeri Perak atau mana-mana dewan atau Parlimen. Biarkanlah ahli politik menyelesaikan kemelut politik mereka, dan pihak polis menyelesaikan masalah keamanan dan keselamatan rakyat. Adalah lebih baik bagi pihak polis menggunakan tenaga kerja dan masa anggotanya untuk menangani masalah jenayah yang kian meningkat. Jenayah merempit yang sudah tidak terkawal, kejadian samun dan ragut yang membawa kepada pembunuhan dan maut, rompakan nekad dan pembunuhan yang sadis dan brutal makin berleluasa memerlukan tumpuan sepenuh masa oleh pihak polis.

Saya juga mendesak supaya pihak polis menghormati hak rakyat untuk bersuara samada melalui diri sendiri atau wakil rakyat mereka. Saya mendesak pihak polis supaya menghormati hak rakyat untuk berhimpun secara aman sebagaimana yang termaktub didalam Perlembagaan Persekutuan.

Berdasarkan itu, saya mendesak supaya pihak polis supaya membebaskan semua mereka yang ditahan bersabit daripada sidang DUN Perak hari ini tanpa sebarang syarat.

Semoga hak dan suara rakyat diutama dan didahulukan sebagaimana slogan "Rakyat Didahulukan, Pencapaian di Utamakan".

Yang benar
Zulkifli Bin Noordin
Ahli Parlimen Kulim Bandar Bharu
Khamis 12 Jamadil Awal 1430 / 07 Mei 2009

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive