Semasa saya meninggalkan dewan Stadium Melawati di mana Muktamar PAS ke-55 diadakan, seorang pemberita akhbar bertanya apakah pandangan saya tentang ucapan Dasar Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Hj Hadi Awang. Sebelum sempat saya menjawab, dia juga cepat-cepat menambah satu lagi soalan iaitu apakah perancangan besar yang PAS akan laksanakan itu akan menimbulkan kebimbangan dan keresahan dua parti lain dalam Pakatan, PKR dan DAP.
Inilah kali pertama saya hadir di Muktamar Tahunan PAS. Saya berasa kagum dengan persiapan, perjalanan dan sambutan penuh semangat oleh para perwakilan yang mengikuti ucapan Presiden. Pujian ini bukanlah kerana Pengerusi Tetap bermurah hati memperkenalkan saya, dan kerana itu saya diberi sambutan meriah daripada para Perwakilan. Saya tertarik kerana kalau dulu PAS hanya memberi tumpuan yang agak sempit dan khusus dalam Ucapan Dasar Presiden, tetapi kali ini PAS menunjuk minat dan kemampuan yang menjangkau isu dan perspektif yang lebih luas dan menunjukkan keyakinan yang tinggi tentang peranannya sebagai sebuah parti besar dalam politik negara. Hadi telah menunjukkan perubahan bukan sahaja dari segi kupasan terhadap dasar dan pendekatan PAS, malah dari sudut peribadinya pun telah menampakkan kesanggupan serta komitmen dalam membicarakan isu yang rumit dan mencabar seperti soal ekonomi, hak asasi rakyat dan hubungan antara kaum. Ucapan beliau selama 1 jam 40 minit itu jauh bezanya dengan muktamar yang terdahulu.
Tema Muktamar ialah Islam Memimpin Perubahan. Ada pemerhati yang cepat-cepat mencelah tema itu sebagai Islam (PAS) memimpin Pakatan. Dan yang ketara selain daripada slogan itu ialah pengumuman perancangan PAS untuk membina Pusat PAS di Putrajaya, memperluaskan pengaruhnya di Sabah dan Sarawak dengan lebih bersungguh-sungguh, dan penerimaan Kelab Penyokong PAS di kalangan bukan Islam sebagai salah satu sayap parti yang rasmi. Dan sebaik sahaja selesai ucapan dasar; semasa mengadakan sidang akhbar hari itu Hadi terus mempertahankan pependiriannnya supaya PAS meneruskan usaha menyokong konsep Kerajaan Perpaduan (Unity Government), iaitu berkerjasama dengan Barisan NasionalUMNO. Sedangkan dia tahu perasaan Tok Guru Nik Aziz dan ramai lagi pemimpin PAS dalam hal ini. yang kelihatan tidak begitu bersetuju dengan saranan Dato’ Seri Hj Hadi. Namun tanpa gentar, ia tetap diluahkan oleh beliau dengan penuh yakin. Sekaligus mempamerkan ketegasan dan keyakinannya, tetapi bagi saya, Hadi telah menjadi terlalu yakin (Overconfident).
Inilah yang menjadi kebimbangan saya. Hari ini parti-parti dalam Pakatan, sama ada PAS, DAP dan Keadilan semuanya menunjukkan keyakinan mereka yang tinggi untuk mencapai kejayaan seterusnya, khususnya dalam piliharaya umum yang akan datang. Mereka semua ada national aspirations, atau cita-cita untuk menjadi parti nasional yang terbesar dan berpengaruh dan sekaligus bakal membentuk Kerajaan. Tidak salah kita ada cita-cita besar kerana apabila parti komponen itu kuat, sepatutnya gagasan dan Pakatan parti-parti tersebut sepatutnya akan menjadi lebih kuat. Tetapi mereka juga perlu ingat kalau Pakatan atau kerjasama yang ada sekarang ini sebenarnya rapuh, maka mereka tidak akan mampu mengatasi BN, walaupun tinggi melangit cita-cita mereka. Kekuatan mereka yang sebenar ialah kekuatan yang timbul daripada usaha dan kerjasamna yang ikhlas daripada ketiga-tiga parti tersebut. Tidak ada parti dalam Pakatan termasok PAS sekalipun yang boleh mendabek dada dan berkata mereka kuat walaupun bersendirian. Mungkin mereka berasa kuat kerana UMNO sudi memberi “back up” yang kuat. Kalaulah ini politik PAS yang baru maka itu bererti pemimpin mereka tidak memahami perjuangan PAS Burhanuddin Helmi Zulkifli Mohamad dan Nik Aziz.
Bilakah agaknya Pakatan akan memberi tumpuan khusus untuk berusaha mencari dan memupuk dasar bersama dalam hal-hal yang kontroversi dan sensitif. Soal pokok pentadbiran yang baik atau good governance dan kaedah melaksanakannya mesti dipersetujui lebih awal kerana prinsip atau dasar yang kita laungkan sebenarnya amat berbeza apabila dilaksanakan. Apakah pendirian parti-parti dalam Pakatan dalam soal-soal seperti Perlembagaan, bahasa dan pendidikan, dasar ekonomi yang mempraktikan keutamaan atau Awlawiyat, semua ini nampaknya memang mudah dikatakan tetapi sukar dalam mencari atau mendapatkan persetujuan. Bagaimanakah kita mahu laksanakan “musyarakah bil gharam wal ghanam” apabila sebahagian besar ekonomi telahpun diswastakan kepada pihak yang kuat dan terpengaruh. Persoalan rumit juga akan pasti timbul dalam usaha “mengakhlakkan” aktiviti hiburan dan sosial tetapi dalam masa yang sama menghormati hak kebebasan individu dan menerima kepelbagaian masyarakat majmuk. Ini semua memerlukan perancangan yang rapi dan yang lebih penting perbincangan di peringkat kepimpinan tertinggi Pakatan yang seterusnya dipersetujui dan diterima oleh semua pihak sebagai dasar untuk dilaksanakan. Sekiranya ini boleh dibuat, maka pastilah akan kelihatan parti-parti dalam Pakatan akan bersuara dalam nada yang sama dalam apa juga persoalan Negara dan masyarakat, dan tidak lagi dilihat bercanggah antara satu dengan lain.
Dengan lain perkataan, dalam usaha parti-parti politik pembangkang mencari kekuatan untok memerintah, janganlah ulangi apa yang berlaku dalam BN. Budaya, nilai dan perjuangan politik BN ditentukan hanya oleh sebuah parti. Sebab itu mereka menghadapi masalah mencari formula perubahan yang mereka laung-laungkan. Untok berubah kita perlu mendengar dan menerima pandangan yang berbeza dari perspektif yang luas terutama daripada rakan kongsi kita. Tetapi hari ini dalam BN mustahil perubahan ini dapat dilaksanakan kerana apabila setiap kali ada usaha untuk menerima pandangan dari kumpulan yang dahulunya hanya mengangguk, tindakan ini akan dianggap mengalah oleh kumpulan yang lain. Sebab itu kita sentiasa mendengar jeritan “jangan tunduk” daripada UMNO setiap kali ada isu yang agak rumit yang cuba ditimbulkan oleh sesetengah parti komponen dalam BN. Gagasan Pakatan perlu bermula dengan pendekatan yang berbeza berbanding UMNO. Tidak perlu sesebuah parti itu menjadi “dominant”. Biarlah mereka bermula dengan keinsafan dan sikap bahawa ketiga-tiga parti dalam Pakatan itu sama-sama kuat, tetapi hakikatnya sama-sama memerlukan satu sama lain. Ingatlah pepatah Melayu, sebatang ranting mudah dipatahkan, tetapi seberkas ranting, sukar atau tidak boleh dipatahkan dengan mudah.
Mereka perlu mencari kekuatan dengan maufakat dan kerjasamaa., bukan dengan dengan sikap `aku lebih kuat daripada kamu’ dan mencari usaha mengatasi kemampuan parti lain. Mustahak sekali Pakatan dapat menyediakan satu Master Plan bagaimana Malaysia dapat diperintah dengan baik adil dan saksama. Biarlah buat pertama kalinya rakyat merasakan bahawa pemimpin mereka mendengar rintihan mereka dan pemimpin pula berusaha mencari jalan penyelesaian yang baik untuk semua rakyat dan semua kaum. Kekuatan bukan sahaja datang daripada kemenangan kita melawan atau mengatasi pesaing kita, ia juga menjelma apabila kita tahu dan menghargai erti dan kebaikan amalan muafakat yang sebenar.
-- dari lensa ZI
No comments:
Post a Comment