KUALA KRAI, Julai 7 — Para petugas Barisan Nasional (BN) yang berasal dari luar Kelantan akui calonnya menghadapi kesukaran untuk menewaskan calon PAS dalam pilihan raya kecil Dun Manik Urai yang diadakan pada 14 Julai ini.
Ketika dihubungi, beberapa petugas Umno dari Terengganu, Kedah dan Wilayah Persekutuan yang bertugas sepenuh masa di beberapa kawasan peti undi di sana mengakui kecenderungan pengundi masih lagi berpihak kepada PAS yang mempertahankan kerusi Dun terbabit.
Kerusi Dun Manik Urai kosong berikutan kematian Adun PAS, Ismail Yaakob pada 22 Mei lalu.
Dalam pilihan raya umum pada Mac 2008 lalu, calon PAS, Ismail menewaskan calon Barisan Nasional, Mohamed Zulkifli Omar dengan majoriti 1,352 undi. Ismail mendapat 5,746 undi sementara Zulkifli mendapat 4,394 undi. Undi rosak adalah 142.
Menurut Pengerusi Suruhanjaya Pilihan raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusuf, penamaan calon berlangsung pada 6 Julai dan hari mengundi pada 14 Julai ini.Dianggarkan 12,293 pengundi berdaftar dengan 25 undi pos akan membuang undi pada hari tersebut.
“Kecenderungan pengundi masih lagi berpihak kepada PAS. Kami menghadapi kesukaran untuk mendapat kerjasama dari sesetengah pengundi di kawasan ini walaupun mereka dari kalangan orang Umno sendiri,” kata salah seorang petugas Umno yang enggan namanya disiarkan.
Dia berkata, kalangan pengundi yang menyokong atau ahli Umno sendiri tidak begitu memberi kerjasama kerana khuatir akan dipulaukan oleh penduduk yang berlainan parti.
“Mereka tidak mahu terlalu aktif untuk membantu kami sebaliknya lebih bersikap mendiamkan diri dan mengundi calon BN secara senyap-senyap sahaja,” katanya.
Petugas ini juga mengakui beberapa siri ceramah dari pemimpin Pakatan Rakyat dilakukan di hadapan bilik gerakan BN sendiri dengan kehadiran ribuan penyokong.
“Beberapa penceramah mereka seperti Datuk Paduka Husam Musa dan Muhamad Sabu telahpun berceramah di hadapan bilik gerakan kami dan sambutannya begitu menggalakkan oleh pengundi di sini,” katanya.
Sehubungan itu, petugas Umno ini memberitahu antara strategi yang dilakukan adalah berusaha untuk mengurangkan majoriti undi yang bakal diperolehi dari calon PAS ini.
”Kami juga telah mengadakan kempen dari rumah ke rumah walaupun masih mendapat beberapa halangan,” katanya lagi.
Sebelum ini, berdasarkan satu kajian ilmiah yang dibuat, 49 peratus pengundi condong kepada PAS manakala 16 peratus sahaja yang condong kepada Umno. Selebihnya tidak memberikan jawapan kepada soalan siapakah yang akan menang di Manek Urai.
Namun, sejak sebelum pilihan raya lagi, Umno dan BN melalui pelbagai agensi kerajaan mengambil pendekatan agresif dalam pilihan raya kecil ini.
Mereka menggunakan Kesedar, Risda, Kementerian Pelajaran dan Kesihatan untuk memberikan khidmat dan pelbagai jenis bantuan kepada rakyat.
Kira-kira 3,000 anggota polis juga diletakkan di Manek Urai ini. - TMI
1 comment:
PAS cuma mengharaf pertolongan dari DAP.
Pemimpin2 PAS semua tahu siapa itu DAP - serpihan parti PAP yang sedang berkuasa di Singapura.
Kedatangan Lee Kuan Yew bermakna besar bagi Lim Kit Siang. Sokongan padu diantara satu sama lain.
Sanjungan LKY terhadap Tn Guru PAS juga bermakna besar - kerana kesudian PAS berkerjasama dengan DAP@PAP.
Kini kita harus sedar bahawa kuasa politik melayu Singapura sudah berjaya dihapuskan oleh LKY.
Sekarang mereka sedang berusaha untuk menghapuskan kuasa politik melayu di Malaysia pula.
'InshaAllah, mereka akan berjaya dengan berkat pertolongan PAS dan PKR'.
Post a Comment