10 July 2009

Manek Urai : Pemimpin Pakatan Rakyat hendaklah contohi stail kehidupan TGNA

Tunaikan mandat rakyat dengan cara yang betul — Mohd Rashidi Hassan

JULAI 10 — Rakyat memberikan mandat besar dan kepercayaan kepada Pakatan Rakyat untuk menggantikan Barisan Nasional, bermula pada Pilihan Raya Umum ke-12, 8 Mac 2008.

Mandat dan kepercayaan ini diberikan kerana rakyat sudah semakin muak dengan pemerintahan Umno-BN yang mengamalkan korupsi, kronisme dan nepotisme.

Dalam tempoh 50 tahun pemerintahan Umno-BN, amalan ini semakin berleluasa sehingga pemimpin-pemimpin Umno dari peringkat Majlis Tertinggi sehingga ke peringkat cawangan, kebanyakkannya hidup mewah dan kaya raya.

Rakyat menolak Umno-BN kerana dengan kuasa politik, mereka memanipulasi sistem kehakiman negara. Membuat dakwaan terpilih dan melepaskan sebahagian besar pemimpin Umno-BN walaupun didapati bersalah mengamalkan jenayah rasuah politik wang.

Rakyat semakin muak dengan Umno-BN, kerana mereka tidak tahu mengurus ekonomi negara dan negeri dengan cara yang betul.

Dakwaan terhadap Dato’ Seri Dr Mohamad Khir Toyo terhadap kos pembinaan banglo termasuk pengambilan dua bidang tanah masing-masing berkeluasan 0.2 hektar dan 0.1 hektar itu, mencecah RM24 juta, hanyalah satu cebisan daripada jenayah rasuah pemimpin Umno.

Bukan sahaja Khir, malah Menteri-Menteri Besar di kalangan Umno yang lain juga, sering didakwa terbabit dengan penyelewengan harta rakyat termasuk dalam isu balak dan tanah.

Umno-BN juga ditolak rakyat kerana mengamalkan politik perkauman yang sempit dan sering memanipulasikan sentimen perkauman demi kepentingan politik mereka.

Bagi orang-orang Melayu, kerajaan yang dikuasai Umno-BN menyempitkan fungsi bahasa dan budaya bangsa serta merendahkan tahap akademik rakyat melalui perlaksanaan PPSMI.

Elemen-elemen penolakan rakyat terhadap penguasaan dan hegemoni Umno-BN terlalu banyak untuk dinukilkan.

Kejahatan dan kedurjanaan Umno-BN terhadap negara dan rakyat terlalu banyak sehingga rakyat kebanyakan sudah tidak mahu menerima mereka sebagai peneraju negara.

Hanya segelintir rakyat yang masih terjerat dengan permainan dan manipulasi media sahaja yang masih memberi sokongan kepada Umno-BN.

Justeru inilah masa yang terbaik untuk Pakatan Rakyat yang berjaya menguasai enam negeri dalam PRU ke-12 untuk membuktikan bahawa Pakatan Rakyat boleh memerintah dengan baik, adil dan saksama.

Kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat seharusnya menghentikan sebarang retorik, sebaliknya membongkar segala penyelewengan yang dilakukan oleh kerajaan pimpinan Umno-BN sebelum ini.

Selain itu, kerajaan-kerajaan negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat mestilah tidak mengamalkan apa yang diamalkan oleh Umno-BN sebelum ini.

Pakatan Rakyat mesti bersih daripada amalan korupsi, kronisme dan nepotisme. Mestilah mengagihkan kekayaan dan sumber negeri secara adil kepada rakyat yang benar-benar layak memilikinya.

Manakala pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat yang diberi amanah memegang kuasa eksekutif di peringkat negeri, mestilah mencontohi stail kehidupan dan pemerintahan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang penuh dengan kesederhanaan.

Pemimpin Pakatan Rakyat hendaklah mengelakkan daripada amalan pembaziran dan hidup mewah, kerana tidak mahu rakyat menuding jari menyamakan Pakatan Rakyat dengan BN dikemudian hari.

Pakatan Rakyat juga mestilah menghentikan pertikaian dalam isu picisan seperti isu babi dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Yang paling penting Pakatan Rakyat mesti membezakan cara pentadbiran dan pemerintahannya dengan Umno-BN.

Jika kita memahami mengapa Umno-BN ditolak rakyat, maka mulai dari sekarang, kita seharusnya memperlengkapkan diri untuk menerajui negara dan mengambil alih tampuk pemerintahan negara dari Umno-BN. — Harakah

1 comment:

Anonymous said...

Pemimpin PAS memang nok ikut stail dan teladan Tok Guru kito tapi kenapa lantik pegawai korup mentadbir MPKB Kota Bharu? Cuba baca comment box Malaysian Unplugged uncensored

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive