Oleh Zukri Aksah
JERANTAUT, 14 Sept – PAS yakin, walaupun kerajaan BN yang ada kini rapuh tetapi jika Pakatan Rakyat tidak berada di atas landasan yang betul, mereka tidak akan berjaya merampas kerajaan Pusat.
Umpama kuih batang buruk adalah kuih yang rapuh, tetapi kalau mahu memakannya tetap perlu ada gigi, kata Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Bagi beliau, politik negara sekarang ini sedang diransang oleh perubahan dunia, yang terbaru ekoran tumbangnya Parti LDP yang sudah berkuasa melebihi setengah abad di Jepun.
BN juga boleh tumbang jika pergerakan perubahan ini tidak berhenti, sampai ia turut menggusarkan Tun Dr. Mahathir.
Tetapi bagi Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang, BN yang rapuh tetap tidak tumbang jika Pakatan Rakyat tidak berada di landasan betul dan tidak berkemampuan.
Tuan Ibrahim memperkatakan tentang ini bila mengulas akan kecenderungan rakyat mutakhir ini yang seringkali menolak kehadiran BN dalam siri-siri pilihanraya kecil pasca PRU12, yang terbaru di Permatang Pasir.
Perubahan kecenderungan rakyat ini juga dijangka akan berlaku dalam episod terkini pilihanraya kecil yang bakal berlangsung di Bagan Pinang, Teluk Kemang, Negeri Sembilan.
Bagi Tuan Ibrahim, keghairahan rakyat dalam berubah menolak BN bukan hanya kerana iklim politik dunia yang berubah, tetapi menjadi tambah deras arusnya kerana BN sendiri, terutama kerana tiga komponen utamanya iaitu Umno, MCA dan MIC sedang bergelut dengan masalah dalaman yang agak kritikal. Ia seakan menjadi tanda yang BN bakal dilanda bah besar dan karam.
Tambah Tuan Ibrahim, rakyat tidak lagi boleh ditipu yang parti seperti MIC sedang berhadapan dengan masalah serius kerana keegoan pemimpinnya sendiri, rakyat juga nampak MCA sudah menjadi zon perang sesama pemimpinnya.
Umno pula mereput dari akarnya, iaitu dari negeri-negeri, perhatikan kebelakangan ini, masalah kepimpinan yang berpanjangan bermula dari negeri-negeri yang dikatakan kubu kuat Umno seperti Terengganu dan Perlis.
Semua yang berlaku ini, ujar Tuan Ibrahim seakan menghantar isyarat kepada ahli dan penyokong BN agar meninggalkan parti yang sedang berada di ambang keruntuhan itu.
Namun, ini tegas Tuan Ibrahim tidak bermakna jika Pakatan Rakyat tidak berada di landasan yang betul dalam menuju ke PRU13 nanti, Pakatan Rakyat mesti ada keupayaan untuk memimpin dan memerintah.
Rakyat dalam keghairahan mereka mahu berubah, tetap akan melihat bagaimana Pakatan Rakyat bertindak di negeri-negeri yang sudah dikuasainya. Isu-isu seperti perobohan Kg. Buah Pala, pemindahan kuil ke Seksyen 23 Shah Alam dan penutupan pusat penyembelihan khinzir di Alor Setar, Kedah sepatutnya diuruskan secara hemah dan cermat.
Tuan Ibrahim mengusulkan supaya isu yang pelbagai jangan dilayan secara sama. Isu sensitif seperti pemindahan kuil dan perarakan kepala lembu tidak seharusnya dibincang secara terbuka, kerana ia mampu menjemput sekali hati dan perasaan yang tidak terkawal, lebih teruk dari itu ia menjadi medan pencetus provokasi bagi diangkat sebagai bahan berita untuk dibekalkan kepada media-media arus perdana.
Dalam isu yang sama, Tuan Ibrahim bersetuju dengan keputusan menangguhkan sementara keputusan memindahkan kuil ke Seksyen 23 Shah Alam itu.
Beliau risau, demonstrasi kepala lembu yang begitu sensitif dan menghina yang berlangsung secara haram tanpa gangguan dari FRU itu, seperti membenarkan telahan sesetengah orang bahawa wujudnya agenda besar di belakang para demonstran ini, iaitu mencipta suasana yang tidak tenteram di Selangor, yang akhirnya mewajarkan satu perintah darurat diisytiharkan di negeri itu.
Tuan Ibrahim berpesan agar pemimpin Pakatan Rakyat di Selangor mengambil sejarah lampau di Kelantan sebagai iktibar.
Tuan Ibrahim juga dalam ulasannya mencadangkan supaya kelak dalam menghadapi isu-isu sensitif sebegini, jangan terlalu cepat melibatkan kepimpinan tertinggi negeri, kerana ia akan menyempitkan ruang membuat keputusan terakhir.
Masalah-masalah yang bersifat daerah memadailah ditangani dengan pengwujudan sebuah Jawatankuasa Khas, sekurang-kurangnya jika ia tidak selesai, ada lagi badan pembuat keputusan yang lebih tinggi yang boleh dirujuk.
Apapun, Tuan Ibrahim yakin, pengalamanlah ilmu paling berguna dan bermakna, yang tiada dalam kitab dan tidak diajar di mana-mana universiti. - TMI
2 comments:
tuhan tu maha adil dan saksama..perkara ini tak mungkin terjadi kerana parti pas dengan angkuh menggunakan ama untuk politiknya...banyak hukum yang tak betul di putar belit untuk meraih sokongan..moga laknatlah mereka ni
Senjata ampuh UMNO di Bagan Pinang, paparkan PAS sebagai ekstrimis
Dengan hampir 40% pengundi di Bagan Pinang adalah terdiri dari bukan Melayu, adalah amat sukar untuk PAS menang dalam PRK Bagan Pinang nanti.
Bertambah sukar lagi kerana di sana terdapat 4600 pengundi pos yang kebiasaannya trend undi pos akan berpihak kepada UMNO. Sudah tentu majoriti pengundi pos ini adalah juga orang Melayu. Oleh itu berapa peratus sajalah lagi orang Melayu yang tinggal yang akan mengundi PAS setelah ditolak pengundi pos ini.
Oleh itu di Bagan Pinang, PAS sangat bergantung kuat kepada undi dari orang bukan Melayu bagi memenangkan calon mereka.
Di PRK Manek Urai terdapat lebih 95% pengundi Melayu Islam, namun PAS masih terkial-kial untuk menang, apatah lagi kalau di Bagan Pinang ini yang jumlah orang bukan Melayu hampir 40% dari bilangan pengundi.
Nampaknya UMNO berada dalam keadaan yang begitu selesa sekali, UMNO tak perlu berhempas pulas untuk menang di Bagan Pinang.
UMNO tak perlu belanja besar untuk mengadakan projek ‘mee segera’ di Bagan Pinang. Apa yang perlu UMNO lakukan hanyalah cukup dengan menggunakan media perdana sebaik mungkin untuk menjauhkan orang bukan Melayu dari PAS.
Melalui media perdana UMNO akan mengambil peluang untuk melakukan perang saraf dengan menggambarkan PAS sebuah parti politik Islam yang ekstrim. Hukum Hudud dan Negara Islam ala PAS sudah tentu akan dimainkan semula oleh UMNO menjelang pilihanraya ini.
Kalau kita menggunakan strategi yang bijak, adalah tidak sesuai untuk pihak PR menurunkan calon PAS bagi mewakili mereka dalam PRK di Bagan Pinang ini. Calon yang mungkin lebih sesuai ialah dari parti PKR.
Parti PKR adalah parti yang sederhana yang boleh diterima oleh orang bukan Melayu dengan baik berbanding parti PAS. Peluang untuk PR menang di Bagan Pinang lebih cerah jika membenarkan calon dari parti PKR bagi mewakili PR bertanding di situ.
Tetapi apalah yang PR boleh buat, sudah tentu parti komponen dalam PR tidak mahu menyinggung perasaan parti PAS untuk mengusulkan cadangan ini.
Tentulah parti PKR tidak berasa selesa dan tidak manis kalau mereka meminta kepada PAS supaya calon PR yang bertanding di Bagan Pinang untuk kali ini diberikan kepada parti PKR. Semuanya ini terpulang kepada budibicara parti PAS sendiri.
Parti PAS tidak harus melihat kepada keuntungan jangka pendek sahaja dengan terus berkeras untuk mengekalkan calon mereka bertanding di Bagan Pinang. PAS patut melihat kepada keuntungan jangka panjang, keuntungan kepada PR secara keseluruhannya.
Bagi PAS kemenangan mungkin tidak begitu penting, bagi mereka perjuangan itulah yang lebih penting. Tetapi kita kena ingat juga, kalau kita hendak berjuang, strategi pun mesti ada juga.
Kalau PAS betul-betul hendak melihat PR menang dalam PRK Bagan Pinang ini, tentulah parti PAS tidak menolak untuk memberi peluang kepada parti yang lain dalam PR untuk mewakili kawasan itu.
Semasa berlaku tsunami politik pada pilihanraya 2008, PAS tidak dapat memenangi kawasan Bagan Pinang, apa lagilah bila keadaan gelombang tsunami politik yang semakin reda sekarang ini. Parti PAS kenalah mengambil kira perkara ini, ia boleh dijadikan alasan kuat kenapa PAS harus memberi peluang kepada parti komponen yang lain dalam PR untuk bertanding di PRK Bagan Pinang pada 11 Oktober ini.
Kita begitu yakin, PAS sukar untuk memenangi PRK Bagan Pinang ini. Kekalahan PAS di Bagan Pinang bukan sahaja akan melemahkan moral parti PAS tetapi juga ia turut memberi kesan yang negatif kepada persepsi orang ramai kepada PR itu sendiri.
PRK Bagan Pinang adalah pilihanraya sangat penting bagi menentukan nasib masa depan BN dan PR, sehingga kepentingan parti bukanlah lagi menjadi suatu keutamaan dalam PRK Bagan Pinang ini.
Post a Comment