10 September 2009

Najib Altantuya pening di Bagan Pinang

Oleh Lim Hong Siang

Barisan Nasional terpaksa berdepan dengan pilihan raya kecil ke-9, selepas kecundang tujuh kali berturut-turut di Semenanjung Malaysia. UMNO-BN bukan sahaja mengekalkan kekalahan dalam PRU ke-12 di kawasan milik Pakatan Rakyat, malah kehilangan kerusi Kuala Terengganu yang asalnya dimenangi dengan majoriti 628 undi.

DUN Bagan Pinang, Negeri Sembilan meletakkan UMNO-BN dalam keadaan yang lebih selesa, dengan majoriti 2,333 undi memihak kepada BN dalam PRU ke-12. Walaupun dari struktur pengundi memperlihatkan satu pertiganya terdiri daripada bukan-Melayu (India 20%; Cina11%), namun kelebihan BN terletak pada "undi pos", yang merupakan satu pertiga daripada jumlah undi keseluruhannya.
Oleh itu, PR sebenarnya lebih sukar untuk menembusi "kubu selatan" UMNO-BN ini. "Keselesaan" BN ini datang dengan risikonya. Seandainya PR berjaya menghakis secara besar-besaran majoriti BN, maka regim ini perlu menyedari bahawa paras oksigennya semakin menurun ke "selatan".
Tetapi seandainya PR berjaya memecahkan tembok di Negeri Sembilan, maka kemungkinan "orang selatan" bakal menarik nafas udara segar dalam PRU ke-13. BN terpaksa berdepan dengan realiti bahawa krisis kredibiliti dirinya belum berakhir, walaupun Abdullah Ahmad Badawi yang dipersalahkan sebelum ini telah menyerahkan kuasa.
Pertikaian integriti calon
Saya berharap pengalaman pilihan raya kecil sebelum ini dijadikan sebagai iktibar kepada kita, kepada pemimpin Umno dan BN tentang apa yang harus kita lakukan (untuk mencapai) yang terbaik," demikianlah ulasan Perdana Menteri, Najib Razak berhubung pilihan raya kecil yang bakal berlangsung.
UMNO-BN semestinya dihampakan dengan keputusan pilihan raya kecil Permatang Pasir, apabila PAS-PR berjaya mempertahankan "kubu Anwar Ibrahim" walaupun dilontarkan dengan pelbagai tuduhan dan tohmahan. Selain itu, UMNO-BN terpaksa mengaku silap apabila meletakkan Rohaizat Othman sebagai calon, mencungkil pertikaian integriti dan keperibadian calon tersebut.
PR tidak menghadapi banyak kesukaran untuk menundukkan musuh politik yang imejnya tercalar. Speaker DUN Selangor, Teng Chang Khim pernah menyindir dalam satu ceramah ketika berkempen, UMNO-BN gagal mencari walau satu calon yang sesuai dari ahlinya di seluruh Malaysia, untuk bertanding di Permatang Pasir!
Bukan sekadar sindiran dari musuh politik, malah tokoh veteren dalam UMNO sendiri, Tengku Razaleigh Hamzah mempertikaikan pemilihan calon sebegini.Mohd.Isa Samad bakal calon?Kini, desas-desus tersebar luas bahawa Mohd Isa B Hj. Abdul Samad bakal diturunkan sebagai calon UMNO-BN di Bagan Pinang. Tokoh veteren ini mempunyai kelebihannya sebagai bekas Naib Presiden UMNO, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, malah bahang pengaruhnya dikatakan masih hangat di Bagan Pinang.
Cuma, Mohd Isa pernah disingkirkan dari kerusi ketiga dalam UMNO, setelah didapati bersalah kerana terlibat dalam politik wang semasa pemilihan UMNO tahun 2004. Mohd Isa digantung keahlian UMNO-nya selama tiga tahun sehingga 23 Jun 2008. Beliau sempat masuk semula ke gelanggang untuk bertanding sebagai naib presiden tahun ini, tetapi gagal akhirnya.
Oleh itu, UMNO-BN kini menghadapi dilema ketika memilih calon. Mohd.Isa mungkin tokoh yang berpengaruh di tempatan, tetapi imejnya yang tercalar boleh dijadikan sasaran serangan dari pihak musuh."Sekali lagi, UMNO-BN gagal meletakkan seorang calon yang berintegriti untuk memikat undi rakyat", "ini bukti paling kukuh bahawa UMNO-BN belum bersedia untuk berubah setelah dihukum oleh pengundinya sejak 8 Mac 2008," Demikianlah kata-kata yang dijangka akan terkeluar dari mulut pemimpin PR, seandainya Mohd. Isa tampil sebagai calon akhirnya.
Dilema UMNO-BN
Namun demikian, seandainya UMNO-BN meletakkan calon selain Mohd.Isa atau anak beliau, maka parti ini perlu mengambil risiko seandainya Mohd. Isa bertindak untuk sabotaj kempen UMNO. Sekiranya ketidakpuasan Mohd. Isa meledak bersama pengaruhnya, maka kemungkinan UMNO akan merasai kepedihan. Tetapi, jikalau Mohd.Isa kembali dengan "pengaruhnya", mungkinkah beliau membuka babak baru pergelutan kuasa dalam kerajaan Negeri Sembilan?
Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi Bahasa Melayu. - uol

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive