SHAH ALAM - Konsert jelajah dunia “I am...” oleh penyanyi Beyonce’ yang dijadualkan akan berlangsung pada 25 Oktober ini di Bukit Jalil ditangguhkan.
Pengurus penganjuran Marctensia Sdn Bhd Goh Yoke Ling berkata, penangguhan konsert adalah itu disebabkan oleh penyanyi itu sendiri dan tiada kaitan dengan hal lain. “Satu kenyataan rasmi daripada pengurusan Beyonce iaitu Music World akan diberikan minggu hadapan.
Tarikh baru konsert itu juga akan diumumkan tidak lama lagi. “Kami memohon maaf di atas penangguhan ini.
Kepada sesiapa yang sudah membeli tiket dan tidak mahu menunggu tarikh baru itu diumumkan bolehlah menuntut bayaran semula dari 26 Oktober ke 14 November depan di pejabat Axcess Tiket di Petaling Jaya atau melayari laman web www.axcess.com.my,” katanya.
Sementara itu Setiausaha Dewan Pemuda Pas Pusat Kamaruzaman Mohamad berkata, mereka menyambut baik penangguhan konsert artis barat itu yang boleh membawa nilai buruk kepada masyarakat, khususnya remaja.
“Alhamdulillah konsert itu ditangguhkan. Konsert itu dilihat boleh memberikan kesan negatif terhadap remaja kita jika diteruskan. Konsert yang mengeksploitasi tubuh wanita, lirik-lirik lagu yang memuja, tarian serta gaya persembahan dilihat sebagai hampir lucah,” katanya.
Menurutnya lagi Pas sejak dulu membantah apa saja jenis konsert yang menjurus kepada kehancuran budaya masyarakat Malaysia. “Bukan saja konsert ini harus dibatalkan malah kemasukan konsert-konsert seumpama ini tidak perlu lagi diterima masuk. Konsert sebeginilah yang memberikan nilai tidak baik kepada kita semua. “Ia juga akan menambah masalah di kalangan remaja, terutama aktiviti maksiat yang semakin berleluasa. Andainya tidak dibendung, dikhuatiri akan memberikan banyak masalah,” katanya.
Pas juga akan melancarkan kempen Jauhi Zina dan Gejala Sosial pada 14 November depan. Kempen yang dibuat khusus untuk menyelamatkan golongan remaja. - Sinar Harian
No comments:
Post a Comment