13 November 2009

Raja Petra dibebas lagi, kali ke 2 dalam tempoh 3 hari

KUALA LUMPUR, Nov 13 — Kegagalan polis mengesan penulis blog Raja Petra Kamarudin sekali lagi mendorong mahkamah melepaskan tanpa membebaskannya daripada satu tuduhan memfitnah — kali kedua dalam tempoh tiga hari.

Hakim Mahkamah Sesyen Mohamad Sekeri Mamat pagi tadi melepas tanpa membebaskan Raja Petra daripada tuduhan memfitnah isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor dan dua yang lain kerana penyerahan waran tangkap terhadapnya tidak disempurnakan.

Keputusan itu juga dibuat disebabkan notis tunjuk sebab kepada penjamin iaitu isteri Raja Petra, Marina Lee, juga tidak dapat dilakukan, lapor Bernama.

Berdasarkan rekod lepas, waran tangkap terhadap Raja Petra dikeluarkan pada 26 Mei lalu dan kesnya telah disebut sebanyak dua kali. Hari ini merupakan sebutan kali terakhir.

Raja Petra, 59, dituduh memfitnah Rosmah, semasa Najib menjadi Timbalan Perdana Menteri serta pegawai pengiring Rosmah ketika itu, Lt-Kol Norhayati Hassan dan suaminya, Lt-Kol Abdul Aziz Buyong, dalam satu akuan bersumpah yang dibuat di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini pada 10.25 pagi 18 Jun tahun lepas.

Raja Petra yang diwakili peguam Amarjeet Singh, boleh dipenjara sehingga dua tahun atau didenda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohd Hafiz Mohd Yusoff.

Kelmarin, Raja Petra dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen daripada tuduhan menerbitkan kata-kata hasutan menerusi laman web kerana polis masih gagal mengesan beliau.
Hakim Rozina Ayub yang membuat keputusan itu kelmarin berkata, perkara ini amat memalukan semua pihak sehingga menyebabkan kes itu terpaksa dilepaskan kerana pihak pendakwaan gagal menyerahkan waran tangkap yang menyebabkan kes itu tergantung dan masih tiada penghujung.

"Kes ini tidak dapat diteruskan, terlalu sayang, kerana pihak pendakwaan telah memanggil tujuh saksi pendakwaan," kata Rozina. - The Malaysaian Insider

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive