05 November 2009

TERKINI: PGSM pohon maaf, tarik balik tuduhan terhadap Dr Asri - pkfz altantuya

PETALING JAYA: Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Mohamad Isa Abd Ralip telah mengemukakan permohonan maaf kepada bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Menurut sumber terdekat, permohonan maaf tersebut dikemukakan melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Jamil Khir Baharom.

Difahamkan pihak berkenaan telah menghubungi Mohd Asri sebentar tadi bagi memaklumkan mengenai perkembangan terkini itu.

"Draf permohonan maaf tersebut telah dilakukan di hadapan Datuk Jamil yang turut menurunkan tandatangannya sebagai saksi," jelas sumber itu.

PGSM bersetuju menarik balik segala tuduhan negatif terhadap Mohd Asri seperti yang terkandung di dalam memorandum mereka kepada Yang di-Pertuan Agong tempoh hari.
"Permohonan maaf itu akan disiarkan di dalam laman web PGSM dan akan dihantar kepada semua media tidak lama lagi," kata sumber itu lagi.

Ketika dihubungi, Mohd Asri yang sedang dalam perjalanan pulang ke Mengkuang, Bukit Mertajam berkata, beliau akan memberi komen berhubung perkara ini setelah melihat sendiri permohonan maaf itu secara rasmi.

"Saya hanya akan beri komen setelah melihat permohonan maaf itu secara hitam putih," katanya.

Dalam pada itu, sebelum ini Mohd Asri mengesahkan telah mengadakan pertemuan dengan Mohamad Isa, Jamil Khir dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Muhammad Sheikh Abdul Aziz di ibu negara hari ini.

Pertemuan itu dalam usaha untuk menyelesaikan apa jua salah faham di antara mereka dalam suasana harmoni dan baik.

Dalam satu wawancara eksklusif dengan mStar Online di Menara Star hari ini, Mohd Asri berkata, pertemuan itu berlangsung dalam suasana yang harmoni dan saling hormat menghormati bak seperti kata pepatah Melayu; “Buang yang keruh, ambil yang jernih.”
Bagaimanapun Mohd Asri enggan mengulas lanjut mengenainya sebagai tanda penghormatan kepada mereka yang lain yang turut terlibat dalam pertemuan itu.

Pendekatan ini katanya, bersesuaian dengan amalan dan ajaran Islam itu sendiri yang menganjurkan umatnya agar saling bermaaf-maafan dan menerima sesuatu perkara itu dalam keadaan berbaik sangka.

"Kami telah mengadakan pertemuan, saya harap sesuatu yang baik akan dapat dicapai daripada pertemuan ini... kita tunggu sahaja berita dari pihak sana," katanya yang enggan mengulas lanjut mengenai butiran pertemuan yang mengambil masa lebih satu jam itu.

Pertemuan ini dipercayai hasil daripada kenyataan Presiden PGSM, Mohamad Isa sebelum ini yang sedia bersemuka dengan Mohd Asri bagi menjelaskan memorandum mereka kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membantah tawaran jawatan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) kepada bekas mufti itu.

Manakala penglibatan Jakim dalam pertemuan tersebut dipercayai berkaitan dengan kenyataan Penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Jakim, Zamihan Mat Zain Al-Ghari dilaporkan mendakwa Mohd Asri memalsukan kelayakan Syariah kerana Universiti Jordan tidak menawarkan dua pengkhususan dalam satu ijazah.

Zamihan dipetik berkata, pengkhususan sebenar Mohd Asri ialah Bahasa Arab dan Sastera, bukan Syariah.

Mohd Asri, 38, yang kini berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Sains Malaysia (USM) sebaliknya melabelkan kenyataan Zamihan sebagai satu fitnah ke atasnya.

Dalam pada itu, difahamkan juga penglibatan Jamil Khir dalam pertemuan tersebut adalah sebagai 'orang tengah' bagi meleraikan kekusutan yang timbul ekoran isu berkenaan terutamanya dakwaan yang mengatakan Dr Asri adalah pengikut fahaman wahabi. - [mStar]

Oleh ZIEMAN dan ARIFFUDDIN ISHAK

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive