31 December 2009

ADUN Pmtg Pasir dilantik Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam P. Pinang

PULAU PINANG, Dis 31 — Pensyarah Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan Universiti Sains Malaysia (USM) Elias Zakaria dilantik sebagai Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP) berkuat kuasa esok.

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir, Salleh Man pula dilantik sebagai Timbalan Yang Di-pertua MAINPP dan 13 lagi anggota MAINPP.

Salleh, satu-satunya wakil rakyat PAS di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, memenangi pilihan raya kecil pada Ogos lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Abdul Malik Abul Kassim dalam satu kenyataan berkata pelantikan itu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin mengikut Seksyen 11 (1)(a) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Pulau Pinang 2004.

Katanya kerajaan negeri telah mencadangkan beberapa individu yang layak menganggotai majlis MAINPP di mana keputusan muktamad adalah atas perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Abdul Malik berkata lima daripada 13 anggota MAINPP dilantik sebagai ex-officio iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Zainal Rahim Seman, Penasihat Undang-undang Kerajaan Negeri Datuk Faiza Zulkifli, Pegawai Kewangan Negeri Datuk Farizan Darus, Mufti Pulau Pinang Datuk Hassan Ahmad, dan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Ayub Yaakob. Manakala lapan lagi dilantik sebagai anggota biasa.

Sementara itu, Elias, 53, berharap beliau akan mendapat sokongan daripada masyarakat Islam di Pulau Pinang dalam usaha membangunkan umat Islam di negeri itu.

“Ini adalah amanah yang diberikan kepada saya dan saya akan melaksanakannya dengan sebaik mungkin,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau yang menerima surat pelantikan itu pada Isnin lepas pernah menjadi anggota MAINPP selama 10 tahun iaitu dari 1998 hingga 2007.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive