01 January 2010

Ibrahim Libya BUKAN Penjenayah

Pemuda PAS: Muzium Polis tak wajar label Ibrahim Libya ‘penjenayah’

Oleh Zukri Aksah

KUANTAN, Jan 1 — Pemimpin Pemuda PAS mendakwa maklumat di Muzium Polis Diraja Malaysia di ibu negara menggambarkan Ibrahim Libya dan pengikut yang terlibat dalam peristima Memali lebih dua dekad lalu sebagai "penjenayah".

Sehubungan itu Exco Dewan Pemuda PAS Pahang, Aris Fezul Ismail berkata kepimpinan PAS pusat perlu mengambil tindakan sewajarnya untuk membetulkan maklumat tersebut yang dikhuatiri pihaknya akan memberi tafsiran yang jauh berbeza.

"Bagaimana Ustaz Ibrahim Libya dan pengikutnya boleh disebut sebagai penjenayah sedangkan Mahkamah Tinggi Alor Star sudah memutuskan sebaliknya dan Tuanku Sultan Kedah juga sudah berkenan melawat perkuburan mereka.

"Ini menghina mahkamah dan menghina perkenan Tuanku Sultan,” kata Aris Fezul yang melawat muzium itu baru-baru ini.

Permintaan itu turut disebarkan menerusi blog tukul besi.

Maklumat tentang tragedi Memali di muzium tersebut antara lain menyatakan bahawa "pada 19 Nov 1985 satu pertempuran telah tercetus dalam misi khas menangkap ketua penjenayah iaitu Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali dengan nama Ibrahim Libya di Kampung Memali, Mukim Siang, Baling, Kedah.

"Mereka menggunakan kanak-kanak dan wanita sebagai benteng pertahanan diri setelah mengetahui kedatangan pihak polis.

"Dua buah kereta perisai terpaksa digunakan untuk merempuh masuk ke kawasan kediaman ketua mereka.

"Pihak polis terpaksa memisahkan wanita dan kanak-kanak daripada mereka sebelum serbuan dilakukan. Dengan laungan “ALLAHU AKHBAR” mereka menyerang pasukan polis dengan menggunakan senjata seperti lastik, panah beracun, ..."

Aris Fezul amat berharap pimpinan PAS, terutama PAS Kedah dapat melakukan sesuatu supaya maklumat di muzium tersebut boleh diubah.

“Kita tidak mahu Muzium Polis secara terus-terusan menghina mereka yang terkorban dalam tragedi Memali dan menjadi penyambung lidah Umno dan BN dalam menipu rakyat,” tegasnya.
"Apa yang saya nak pinta di sini kepada pihak yang berautoriti dalam PAS, tolonglah lakukan sesuatu terutama PAS Kedah.

"Sebenarnya saya sudah pernah mendengar komen ini dikemukakan setahun dua yang lalu. Saya tidak tahu apa tindakan yang telah diambil," kata tulisan dalam blog tukul besi.

Peristiwa Memali telah meragut 14 nyawa orang awam termasuk Ibrahim Libya, bekas pegawai Pusat Islam yang kemudiannya menjadi aktivis PAS dan 13 orang anak muridnya.

Empat orang anggota polis turut terkorban dalam kejadian ini.

Mahkamah Tinggi Alor Star telah memutuskan bahawa 14 orang yang menjadi mangsa tersebut bukan penjenayah dan memerintahkan supaya kerajaan membayar pampasan kepada balu-balu mereka . TMI

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive