06 January 2010

PAS serang Umno politikkan isu kalimah ‘Allah’

Oleh G. Manimaran

PETALING JAYA, Jan 6 — Dua hari selepas pendirian rasmi berhubung isu kalimah “Allah”, PAS terus menyerang Umno sambil mendakwa parti itu menangguk di air keruh dengan mempolitikan isu nama Allah demi kepentingan mereka yang “mahu diiktiraf juara rakyat secara ‘fast track’.”

Sehubungan itu parti itu, mendesak Umno yang 12 penggal mentadbir Malaysia supaya meminda Perlembagaan bagi menghalang pengaruh agama-agama lain terhadap umat Islam.
Umno akan melancarkan program "Umno Juara Rakyat" pada Sabtu ini.

Ketua penerangannya Idris Ahmad berkata terlalu banyak bukti menunjukkan pengkhianatan Umno kepada Islam dan PAS berharap isu nama Allah ini akan memberikan keinsafan buat Umno.

"Akibat dari kecurangan mereka terhadap Islam maka, sudah ada orang berani mencabar Islam di negara ini.

“PAS menolak sebarang aktiviti ekstrim dan provokasi melampau dalam isu ini," kata beliau dalam blognya hari ini.

Semalam blog beliau ada memuatkan kenyataan yang PAS kecewa dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam isu kalimah “Allah” tetapi ia telah dialihkan hari ini.

Semalam Idris menyifatkan ia sebagai kenyataan lama sebelum pendirian rasmi dikeluarkan kelmarin.

Kelmarin PAS mengambil pendirian rasmi dengan menegaskan penggunaan perkataan “Allah” dibenarkan untuk digunakan oleh agama samawi seperti Kristian dan Yahudi.

Bagaimanapun parti itu menegaskan penggunaan kalimah “Allah” secara salah dan tidak bertanggungjawab wajar dielakkan supaya ia tidak menjadi isu yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama dalam negara ini.

PAS juga memberikan peringatan kepada semua pihak supaya tidak menyalahgunakan perkataan Allah bagi mengelirukan atau menjadikan politik murahan untuk mendapat sokongan rakyat.

"Harus diingat bahawa Umno bertanggungjawab dalam mewujudkan enakmen Syariah bagi Mahkamah Syariah di negara ini, yang mana di dalamnya terkandung klausa yang membolehkan umat Islam memohon untuk murtad sedangkan amalan perundangan ini tiada dalam hukum Islam.

"PAS menuntut klausa ini mansuhkan segera," kata Idris lagi.

Beliau menambah PAS juga kesal kerana Umno suatu ketika dahulu pernah cuba membuang nama Islam dari digunakan oleh pertubuhan-pertubuhan Islam.

Dakwa beliau Umno juga bertindak zalim dengan merobohkan serta mengunci beberapa masjid dan surau sebelum ini kerana dendam politik.

"PAS juga yakin bahawa rakyat turut berasa kesal kerana pemimpin-pemimpin Umno yang tegar mempertahankan nama Allah hari ini masih enggan mematuhi keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang menegah mana-mana umat Islam bertafakur di hadapan tugu negara yang dianggap sebagai perbuatan syirik yang ‘berlesen besar’.

"Umat Islam juga jelak dengan pemimpin Umno yang berdegil membenarkan ahli-ahlinya menjadi ahli lembaga pengarah syarikat judi dan arak di negara ini.

"Malah Umno juga enggan mengeluarkan larangan kepada umat Islam yang bekerja di premis arak dan judi," katanya.

Tambah Idris, pemimpin-pemimpin Umno juga bertanggungjawab dalam menekan jabatan-jabatan agama yang melakukan operasi di pusat-pusat hiburan dan maksiat.

"Suatu ketika dahulu Umno pernah mempertikaikan tindakan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan menahan umat Islam yang didapati minum arak secara terbuka di Kelab Malam Zouk di Jalan Ampang.

"PAS dan umat Islam juga belum dapat memaafkan dosa Umno yang menarik bantuan kepada sekolah-sekolah agama rakyat yang menyebabkan berpuluh sekolah terpaksa ditutup dan pendidikan agama anak-anak umat Islam disekat.

"Umno juga pernah mencuba untuk menyekat perkembangan Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) yang ditubuhkan PAS bagi memberikan didikan kepada anak-anak prasekolah, malahan Pasti di Melaka telah disaman oleh kerajaan Umno di Melaka," katanya. - TMI

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive