08 March 2010

Polis bertindak atas kehendak kerajaan BN, bukan berasakan faktor keselamatan"

Halang ceramah: Pakatan dakwa BN cabul hak asasi

KUALA LUMPUR, 8 Mac — Pakatan Rakyat (PR) yang dibentuk susulan pilihan raya umum ke-12 genap dua tahun lalu, hari ini menegaskan ia memutuskan untuk membawa beberapa kes penyalahgunaan kuasa polis khususnya kerajaan Barisan Nasional (BN) ke perhatian Suhakam dan badan-badan antarabangsa.

Pendirian itu dibuat dipercayai ekoran pengalaman dilalui PR dua malam berturut-turut apabila polis menghalang perhimpunan mereka termasuk di Kelab Sultan Sulaiman di sini semalam.

Di Kelab Sultan Sulaiman, PR hanya dibenarkan mengadakan pertemuan mereka dalam dewan kelab tersebut, bukannya di padang.

PR yang mengadakan mesyuarat majlis presiden hari ini berkata, pihaknya akan menyediakan “dosier” yang lengkap mengenai pencabulan kerajaan Malaysia terhadap hak asasi rakyat Malaysia, bertentangan dengan janji dan persetujuan mereka kapada prinsip hak asasi di bawah piagam Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu untuk dibentangkan kepada Majlis Hak Asasi Antarabangsa dan juga kepada majlis Hak Asasi Manusia Kesatuan Eropah.

“Wakil-wakil Pakatan Rakyat akan ke Asean, New York dan Brussels tidak lama lagi untuk tujuan ini,” kata pemimpin PR dalam kenyataan dikeluarkan selepas mesyuarat tengah hari ini.
Kenyataan PR juga menyebut pihak polis dipergunakan untuk menghalang majlis ceramah yang dianjurkan oleh PR.

“Semua taktik kotor ini mengingatkan kembali rakyat kepada era reformasi 1998.

“Rakyat berhak berhimpun secara aman. Mereka juga berhak untuk mendengar pemimpin mereka berucap dan memberi pandangan tentang hal negara,” kata kenyataan itu sambil menambah, ini adalah hak asasi dan yang dilindungi di bawah Perlembagaan Malaysia dan juga diiktiraf di bawah piagam Bangsa Bangsa Bersatu.

Bagaimanapun kenyataan itu menambah di Malaysia hari ini pihak polis telah bertindak menidakkan hak tersebut dan menggunakan kekerasan untuk memecahkan perhimpunan aman.

Malah kenyataan itu menyebut, permit untuk berhimpun secara aman tidak diberi dan kalau pun diberi dengan syarat yang tidak munasabah.

“Lagi pun permit ini ditarik balik tanpa alasan yang munasabah. Adalah jelas pihak polis telah bertindak atas arahan dan kehendak politik kerajaan BN dan bukan berasakan faktor keselamatan negara,” katanya.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive