11 April 2010

PKR Mungkin Bertanding Di Parlimen Sibu - DSWA


SIBU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) berminat untuk bertanding pada pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Sibu tetapi mematuhi sebarang keputusan yang diambil oleh Pakatan Rakyat (PR) negeri.

Presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata parti itu akan mengadakan perbincangan khasnya dengan DAP negeri mengenai perkara tersebut.

Kerusi parlimen itu kosong berikutan kematian penyandangnya selama lima penggal Datuk Robert Lau Hoi Chew, 68 daripada Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan di Kuala Lumpur pada Jumaat lepas akibat sakit barah.

"Jika keputusan untuk bertanding adalah DAP, PKR akan memberikan sokongan dan kerjasama sepenuhnya dalam semangat PR sebenarnya," kata beliau kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan anggota dan penyokong PKR di sini semalam.

Mengenai dakwaan bekas pemimpin PKR negeri Gabriel Adit Demong bahawa parti itu sebenarnya tidak berminat dan serius dalam memperluaskan sayapnya ke negeri ini, Dr Wan Azizah berkata beliau berhak bercakap mengenai pandangannya.

Adit yang kini pengerusi Parti Cinta Malaysia (PCM) negeri juga berkata bahawa penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal menyediakan sebarang bantuan kewangan untuk membuka lebih banyak cawangan dan bergerak menemui akar umbi di Sarawak.

"Pada hakikatnya kini PKR masih berkembang dan ramai yang ingin menganggotai parti itu. Kita juga ada ramai anggota parlimen dan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) di seluruh negara," kata Dr Wan Azizah.

Beliau juga enggan mengesahkan sama ada parti itu akan bertanding bagi kira-kira 40 kerusi pada pilihan raya negeri akan datang seperti yang dilaporkan sebelum ini.

"Ini rahsia parti. Kita akan beritahu jumlah sebenar apabila tiba masanya," tegas beliau.

Sementara itu menurut anggota PKR Lanang George Chen, bahawa lawatan Dr Wan Azizah ke beberapa tempat di negeri ini ialah untuk melihat persediaan jentera parti itu menghadapi pilihan raya negeri. -BERNAMA

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive