Pegawai Polis Ditahan Kerana Tunjuk Senjata Api Kepada Pekerja Hotel
Malah, pegawai berusia 40-an itu dari Unit Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM)juga didapati positif dadah.
Dalam kejadian pukul 8.30 malam itu, pegawai terbabit datang ke hotel tersebut bersama seorang rakan untuk menginap.
Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, pekerja hotel itu telah meminta pegawai tersebut menunjukkan kad pengenalan diri, namun kerana berang dengan tindakan pekerja itu, pegawai tersebut bertindak menyelak bajunya dan menunjukkan senjata api yang diselitkan di pinggangnya.
Bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini, pekerja hotel itu menghubungi polis sebelum satu unit peronda polis datang dan membawa pegawai itu ke balai untuk siasatan, katanya. Khalid berkata siasatan terhadap pegawai terbabit masih dijalankan sebelum kertas siasatan berhubung kejadian itu diserahkan kepada Pejabat Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.
"Kertas siasatan akan dilengkapkan secepat mungkin dan polis tidak akan menyembunyikan sebarang fakta dan siasatan akan dijalankan secara telus dan adil tanpa mengira pangkat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
"Kita memandang serius perkara itu kerana ia melibatkan pegawai polis sebab itu kita telah menahannya pada hari kejadian sejurus menerima laporan daripada pekerja hotel itu," katanya.
Khalid berkata, hasil ujian air kencing ke atas pegawai itu juga menunjukkannya positif dadah dan siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 506 kanun Keseksaan dan di bawah Akta Penagihan Dadah 1983.
Beliau berkata pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadapnya jika didapati bersalah. -BERNAMA
2 comments:
Kalau dah bossnya keras kepala...anak buah kepala batu.
dah hampir 5 thn kes berlaku..
so la ni.. apa jadi..?
Post a Comment