22 May 2010

MP Kapar nafi akan umum keluar PKR petang ini


Oleh G. ManimaranMay 22, 2010

KUALA LUMPUR, 22 Mei — Ahli Parlimen Kapar S. Manikavasagam sekali lagi menafikan khabar angin yang beliau akan mengumumkan keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) petang ini.

“Khabar angin ini tidak benar. Tidak benar, tidak benar, saya akan bersama PKR walau apa sahaja berlaku ke atas saya sama ada saya dikenakan tindakan disiplin ataupun apa jua keputusan Selcat nanti,” kata beliau ketika dihubungi.

Ditanya dakwaan bahawa akan menghadiri sidang media di Shah Alam petang ini, Manikavasagam menegaskan, beliau tidak tahu apa-apa mengenainya.

“Saya baru balik dari menemui penduduk kawasan saya. Saya tidak tahu siapa menyebarkan maklumat itu,” kata beliau lagi.

“Saya bukan pengecut, saya tidak akan lari dari tanggungjawab saya bersama PKR,” kata beliau sambil menambah “telah memaklumkan pendirian saya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim awal minggu ini.”

Ini bukan kali pertama beliau disebut-sebut akan keluar PKR.

Semalam beliau menerima notis menghadiri pendengaran awam Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) berhubung dakwaan penyelewengan dalam syarikat pasir kerajaan negeri Selangor, Kumpulan Semesta Sdn Bhd.

Khabar angin disebarkan menerusi SMS dan internet mendakwa wakil rakyat penggal pertama itu akan mengadakan sidang media 2 petang ini di Shah Alam bagi mengumumkan keputusan meletakkan jawatan.

Malah akhbar angin itu juga menyebut dua Ahli Dewan Undangan Negeri dari Kedah juga akan hadir bersama.


Khabar angin terbaru ini muncul ketika kerajaan negeri Kedah pimpinan Pakatan Rakyat sedang membuat persiapan untuk mengadakan perhimpunan raksasa dekat Alor Setar malam ini, yang antara lain bertujuan menamatkan spekulasi bahawa akan ada Adun khususnya dari PKR keluar parti.

Jika mereka bertindak sedemikian ia akan membawa kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri ataupun peralihan kuasa kerajaan negeri kepada Barisan Nasional (BN) yang bertindak sebagai pembangkang sekarang.

PKR sudah pun kehilangan dua Adun setakat ini.

Mengulas lanjut, Manikavasagam berkata, beliau sudah berkali-kali mengatakan bahawa tidak akan keluar PKR.

“Saya sudah mengatakan pendirian saya dengan jelas, saya tidak akan keluar parti... orang atau mereka yang membuat dakwaan ini harus berhenti daripada menyebarkan khabar angin macam ini,” katanya lagi.

Khabar angin Manikavasagam akan keluar semakin kencang selepas beliau membuat pendedahan terbuka kononnya wujud amalan rasuah membabitkan tiga pegawai kanan Kumpulan Semesta.

PKR setakat ini telah kehilangan lima Adun dan enam kerusi Parlimen iaitu empat kerusi parti, satu tewas dalam pilihan raya kecil dan seorang Ahli Parlimen dipecat.

Semuanya berlaku sejak Februari lalu - TMI

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive