Pelacur Patah Kaki, Tangan Kerana Terjun Bangunan Elak Ditangkap
KUALA LUMPUR: Gara-gara melarikan diri daripada dicekup pihak berkuasa, seorang pelacur patah kaki kanan dan tangan kiri akibat terjun dari bumbung sebuah bangunan yang menempatkan sebuah pusat pelacuran malam Khamis.
Kejadian kira-kira 9 malam tadi berlaku apabila wanita berusia lingkungan 50-an bersama-sama enam pelacur lain cuba melarikan diri apabila sebuah pusat pelacuran di Tingkat 1 bangunan dua tingkat di Jalan Chow Kit itu diserbu pihak berkuasa dalam operasi bersepadu mencegah jenayah.
Mangsa yang mengalami kecederaan selepas terjun dari ketinggian 20 meter itu dihantar ke hospital dengan ambulans manakala enam pelacur lain yang juga berumur dalam lingkungan 50-an ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut.
Dalam operasi bermula 7 malam dan berakhir empat jam kemudian itu, seramai 85 orang ditahan atas pelbagai kesalahan di sekitar ibu negara.
Operasi melibatkan empat agensi iaitu polis dengan 150 anggota, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI) dengan 12 anggota dan masing-masing 10 anggota dari Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman berkata operasi itu dijalankan bagi mengesan penagih dadah, pendatang asing, judi haram, mak nyah, peniaga VCS dan DVD cetak rompak dan pelacur yang tertumpu di kawasan Chow Kit, Bukit Bintang, Jalan Petaling, Flat San Peng dan Dang Wangi.
"Dalam operasi ini, kita telah memeriksa 120 orang dan menahan 85 orang atas pelbagai kesalahan antaranya tujuh pelacur, tiga pelanggan dan lima mak nyah yang berusia 30 hingga 50 tahun," katanya dalam sidang media tengah malam tadi.
Selain itu, katanya dua lelaki berusia 30-an turut ditahan kerana memiliki dadah dipercayai heroin seberat 0.2 gram manakala 28 orang lagi ditahan keran positif dadah jenis heroin.
Beliau berkata operasi itu sejajar dengan NKRA Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengurangkan kadar jenayah jalanan bagi kontinjen Kuala Lumpur 20 peratus tahun ini.
Sementara itu, Muhammad Sabtu berkata seramai 15 wanita ditahan pada kira-kira 1 tengah hari, 22 Mei lepas di sebuah premis yang terletak di Jalan Silang di sini kerana terlibat dalam pelacuran.
"Hasil pemeriksaan mendapati 13 daripada mereka yang berusia lingkungan 20-an itu bukan warganegara ini," katanya.
Beliau berkata ketika serbuan, mereka bertindak mengunci premis itu dari dalam sehingga polis terpaksa meminta bantuan daripada pihak bomba untuk memecahkan pintu tersebut.
Siasatan lanjut mendapati di dalam premis itu terdapat 15 wanita, 44 keping kondom dan lebih 100 tiub cecair pelincir (KY), katanya.
Menurutnya 13 wanita itu memiliki kad pengenalan palsu dan kesemua mereka ditahan reman selama 14 hari dari tarikh ditangkap.
"Terdapat sindiket yang menyediakan kad pengenalan palsu kepada pendatang asing terutama kepada rakyat dari negara jiran yang menyamar sebagai warga tempatan," katanya.
Beliau berkata pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mengesan dalang sindiket pengeluaran kad pengenalan palsu itu yang dipercayai rakyat tempatan. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment