14 June 2010

Kami akan bertahan - Mandat lebih besar dalam PRU13 : Exco Kedah

Oleh G. ManimaranJune 14, 2010KOTA BARU, 14 Jun — Meskipun desas-desus bakal tumbangnya Kedah masih kedengaran, PAS negeri itu yakin kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat (PR) ini akan terus bertahan, malah mampu untuk mengekalkan pentadbirannya dengan “mandat lebih besar” pada pilihan raya umum ke-13.

“Saya yakin kami akan terus bertahan, malah akan memperoleh kejayaan lebih baik pada pilihan raya umum akan datang,” kata Ketua Penerangan PAS Kedah Amirudin Hamzah.

Beliau yang juga ahli Jawatankuasa Pusat PAS melahirkan keyakinan itu berdasarkan perkiraannya terhadap jumlah kerusi yang dimiliki PR dan Barisan Nasional (BN) dengan mengambil kira senario semasa.

“Berdasarkan perkiraan dan perhitungan saya, saya yakin kami tiada masalah untuk kekal memerintah sehingga pilihan raya umum akan datang... melainkan perkiraan saya silap, mungkin anda boleh buktikan saya silap,” kata beliau ketika ditemui di sisi Muktamar Tahunan PAS Ke-56 di sini.

Sehari selepas pertemuan ini, pemimpin kanan PAS Pusat Datuk Abdul Halim Abdul Rahman semalam melontarkan kejutan Selangor dan Kedah di ambang kejatuhan jika tidak menggiatkan pendaftaran pengundi-pengundi baru dalam waktu terdekat.

Amirudin yang juga Exco kerajaan negeri mengakui walaupun perbezaan kerusi tidak jauh berbeza antara PR dan BN, yang dikatakan mempunyai sokongan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bebas, PAS Kedah percaya tiada masalah untuk kekal berkuasa.

“Berdasarkan daripada kiraan saya, dengan kerusi 20 kerusi yang kami ada berbanding mereka ada 16 dengan dua Adun dari Bebas, kami yakin... tiada masalah,” kata beliau yang mengakui BN cuba mendampingi wakil-wakil rakyat PR termasuk PAS.

The Malaysian Insider difahamkan lima wakil rakyat PR telah didampingi BN setakat ini.

Jelas Amirudin, pihaknya merumuskan keyakinan itu kerana atas kertas BN “sudah pun kehilangan” dua kerusi — status Kota Seputih yang akan didengar oleh Mahkamah Rayuan manakala seorang wakil rakyat MCA berhadapan dengan ‘masalah dalaman’ parti dan sedang mengambil cuti.

Kedah mempunyai 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan 16 wakil rakyat dari PAS, tiga PKR, seorang DAP. BN mempunyai 14 wakil rakyat dan dua lagi Bebas setelah keluar PKR.

Untuk membolehkan kerajaan negeri Kedah pimpinan PR jatuh, BN memerlukan empat lagi Adun menyokongnya.

Selain dua wakil rakyat BN yang dikatakan masih menjadi tanda tanya, Amirudin berkata, Adun Kuala Nerang, Datuk Syed Sobri Syed Hashim juga menjadi tumpuan kerana isu yang berkaitan dengan masalah peribadi beliau.

Justeru kata Amirudin, umumnya kini BN adalah ‘masalah’ dengan tiga kerusi dan “mereka sedang melengah-lengahkan masa” bagi mengelakkan kemungkinan pilihan raya kecil.

Berdasarkan undang-undang pilihan raya, pilihan raya kecil tidak perlu diadakan jika kekosongan wujud dalam tempoh dua tahun sebelum mandat semasa berakhir.

Laporan sebelum ini menyebut wakil rakyat hendak keluar Umno-BN tetapi beliau ada pengesahan.

“Jadi mengambil kira keadaan ini, selepas campur tolak, saya masih yakin dengan kedudukan Pakatan di Kedah,” katanya.

“Kami masih yakin wakil-wakil rakyat PAS dan PKR tidak ada yang akan keluar,” kata beliau dengan merujuk kepada pengakuan terbuka dibuat oleh tiga Adun PKR bulan lalu.

“Begitu juga dengan wakil rakyat (tunggal) DAP... dia tak akan keluar parti,” katanya.

Ketiga-tiga Adun PKR itu merupakan Exco Kerajaan Negeri.

Dalam satu temu bual dengan The Malaysian Insider, BN Kedah membayangkan mempunyai peluang cerah untuk melihat beberapa Adun PR akan keluar parti komponennya, sekali gus mengubah landskap pentadbiran negeri semasa.

Sehubungan itu, Umno salah satu komponen BN meramalkan sama ada Kedah akan berubah tangan ataupun sekurang-kurangnya membawa kepada pilihan raya umum negeri yang baru.

Umno melihat kemungkinan tersebut berdasarkan perbezaan empat kerusi DUN antara PR dan BN yang mendakwa menerima sokongan wakil rakyat Bebas.

“Saya lihat ada peluang (untuk beberapa Adun Pakatan) keluar parti... saya melihat kemungkinan itu kerana sudah ada yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan parti mereka,” kata Setiausaha Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Ir Nawawi Ahmad.

Nawawi juga berkata, pihaknya mempunyai maklumat beberapa wakil rakyat PR juga tidak berpuas hati dengan parti masing-masing buat masa sekarang.

Percaturan Umno-BN ialah antara dua hingga tiga Adun kemungkinan keluar.

“Jika dua wakil rakyat parti (komponen Pakatan) keluar bermakna keseimbangan anggota di DUN iaitu 18:18... sama di pihak Pakatan dan juga BN, jika ini berlaku kerajaan negeri tidak boleh berfungsi, dan pilihan raya umum negeri perlu diadakan, tiada pilihan.

“Jika tiga wakil rakyat keluar dari Pakatan, kami akan ada sokongan lebih satu kerusi iaitu 19:17. Dalam keadaan ini, BN boleh mengambil alih kerajaan, seperti yang berlaku di Perak,” katanya lagi.

Mengenai dakwaan Umno bahawa wakil-wakil PR akan bertindak keluar parti, Amiruddin berkata, “mereka terpaksa berbuat demikian (menyebarkan berita) untuk kekalkan semangat ahli-ahli mereka.”

“Tetapi kami yakin menang lebih baik, bagi PAS kami yakin menguasai kesemua 24 yang ditandingi (dalam pilihan raya umum ke-13),” katanya.

Pada Mac 2008, PAS bertanding di 24 kerusi dan menang di 16 kawasan.

“Kami yakin akan memperoleh mandat lebih besar,” kata Adun Anak Bukit ini - TMI

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive