13 June 2010

PAS : Selangor dan Kedah akan jatuh jika ...

Oleh G. Manimaran

13 June 2010 : KOTA BARU : Selangor dan Kedah diberi ingatan “tegas” oleh pucuk kepimpinan PAS, kedua-dua kerajaan negeri itu berada di “ambang keruntuhan” jika tidak mempergiatkan pendaftaran pengundi baru dalam jumlah yang besar.

Peringatan itu diberikan oleh Ketua Lajnah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Abdul Hamid Abdul Abdul Rahman ketika menggulung perbahasan Muktamar Tahunan PAS Ke-56 di sini hari ini.

Dengan mengambil kira prestasi Pakatan Rakyat ketika pilihan raya kecil kerusi Parlimen Selangor, Abdul Hamid berkata, PAS perlu mempergiatkan usaha mendaftar pengundi-pengundi baru.

“Berdasarkan (prestasi ketika) pilihan raya kecil Hulu Selangor, saya hendak ingatkan pesuruhjaya PAS dan Yang Dipertua PAS kawasan di Selangor, kita kena tingkatkan pendaftaran pemilih... di Hulu Selangor kita kehilangan enam peratus pengundi Melayu dan 10 peratus pengundi India.

“Kalau kita tidak daftar pengundi muda yang baru, Selangor di ambang keruntuhan. PAS ‘out’, cuma (boleh dapat kerusi),” katanya.

Pakatan Rakyat menurunkan calon dari Parti Keadilan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim.

“Kedah pun kena tambah pengundi-pengundi baru, kalau tidak Kedah pun di ambang kejatuhan,” kata beliau hari ini.

Semalam PAS meluluskan pelan tindakan 15 strategi bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Salah satu strategi ialah mendapatkan sejuta pengundi baru.

Strategi itu diluluskan bersama usul persediaan menghadapi pilihan raya yang diterima oleh Muktamar Tahunan PAS Ke-56 semalam.

Muktamar yang berakhir hari ini banyak memberi tumpuan ke arah persediaan parti itu menghadapi pilihan raya umum ke-13 bersama Pakatan Rakyat.

Dalam ucapan dasarnya Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menekankan bahawa secara umumnya, semua organisasi parti termasuklah jentera pilihan rayanya perlulah diperkemaskan di semua lapisan peringkat untuk berhadapan dengan pilihan raya umum ke-13. Dengan pendaftaran pengundi yang menyeluruh, kata PAS, tumpuan serius dan sistematik perlu diberikan termasuk melancarkan gerak kerja khas pendaftaran pemilih, terutama pemilih baru, secara besar-besaran.

“Sasaran minimum ialah satu juta pendaftaran baru di seluruh negara,” kata PAS dalam laporan itu yang diperoleh The Malaysian Insider.

Ketua Dewan Pemdua PAS menyasarkan untuk memberi tumpuan ke atas 2.2 juta pengundi muda.

Masih ada lebih empat juta pengundi yang layak tetapi belum mendaftar sebagai pemilih.

Abdul Hamid juga menyentuh prestasi PAS mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri Manek Urai, Kelantan dengan majoriti tipis.

Menurut beliau, di Manek Urai PAS kemerosotan undi sebanyak 6.3 peratus ketika pilihan raya kecil tahun lalu.

“Dengan mengambil kira tiada tsunami politik (2008 berulang) dan kita menurunkan anggaran undi diperoleh lima peratus, kita merosot 6.3 peratus undi di Manek Urai, di Kelantan kita boleh mengekalkan dengan memperoleh 24 kerusi,” katanya.

Sehubungan itu kata beliau, kerajaan-kerajaan negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat perlu membantu parti-parti politik ikatan tersebut.

Katanya, PAS meneruskan prestasi di Kelantan disebabkan sokongan kepimpinan kerajaan negeri kepada jentera parti-parti politik.

“Kekuatan menghadapi pilihan raya di Selangor dan Kedah, tidak sama dengan kekuatan menghadapi pilihan raya di Kelantan,” katanya.

“Ini satu ingatan... diharap PAS pusat akan membuat panduan untuk membantuk menghadapi pilihan raya umum ke-13,” kata beliau - TMI

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive